KUALA LUMPUR, 21 Jan – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin tidak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan borang keahlian yang tertera nama beliau adalah palsu.
Setiausaha Politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu, Nor Hizwan Ahmad menegaskan surat permohonan menggunakan kepala surat KPKT yang tular bersama borang permohonan keahlian BERSATU adalah perbuatan tidak bertanggungjawab kerana mengaitkan kementerian dengan isu politik.
“Dengan tegas dinyatakan bahawa tularan tersebut adalah palsu dan merupakan kerja jahat dan amatur pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh atas situasi politik dalaman parti yang berlaku sekarang ini, jelas Hizwan dalam satu kenyataannya pada Isnin.
Hizwan berkata sehingga kini Zuraida Kamaruddin merupakan Naib Presiden Keadilan dan masih fokus menjalankan tanggungjawab serta tugasannya sebagai Ketua Cabang Keadilan Ampang.
Sebelum ini, tular gambar borang permohonan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu di media sosial.