KUALA LUMPUR, 8 Feb – Menghampiri pembentangan Bajet 2023 yang akan berlangsung pada 24 Februari ini, bekas Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany menyatakan ia merupakan peluang kepada kerajaan untuk mengukuhkan semula pertahanan negara dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“ATM atau pertahanan negara telah begitu lama diabaikan. Saya berharap kerajaan kali ini mengambil peluang untuk mengubah keadaan tersebut,” katanya yang menyuarakan harapan terhadap Bajet 2023.
Pandangan beliau terhadap keadaan semasa pertahanan negara telah lama diungkapkan. Ini terutamanya semasa Sesi Plenari Pertama Persidangan Keselamatan Negara 2022 pada Julai tahun lalu.
Pada ketika itu, Reza menyatakan perancangan perolehan yang ampuh untuk direalisasikan sepenuhnya mulai sekarang bagi membolehkan keupayaan cegah rintang ATM mampu memelihara kedaulatan negara.
Dalam kenyataan beliau baru-baru ini, bekas Panglima Tentera Laut itu sekali lagi menegaskan bajet ATM perlu dikaji semula agar ia sesuai dengan keadaan semasa.
“Bajet ATM perlu dikaji semula supaya ianya lebih sesuai dengan landskap keselamatan semasa,
“Dalam konteks ini, ianya hendaklah ditingkatkan dari tahap sekarang ke tahap yang lebih realistik iaitu sekitar 1 hingga 1.5% dari KDNK,” ujar beliau.
“Business is not as usual”
Walaupun baharu sahaja menyerahkan tugas Panglima Tentera Laut kepada penggantinya Reza menegaskan pandangan beliau tetap sama dan tidak berubah.
“Pandangan saya tetap konsisten sama ada semasa saya masih Panglima Tentera Laut atau mantan seperti sekarang,
“Saya telah berkali-kali menerangkan bahawa landskap keselamatan (security landscape) di peringkat global dan serantau telah berubah,
“Keadaan ini pula memerlukan bajet pertahanan kita dikaji semula. Business is not as usual,” ujar beliau.
Kebimbangan Reza sudah tentu mempunyai asasnya yang tersendiri memandangkan geopolitik global mengalami perubahan drastik semenjak Perang Ukraine-Rusia tercetus pada 24 Februari tahun lalu.
Tambahan pula, rantau Indo-Pasifik tetap dianggap sebagai titik panas dan pergeseran antara kuasa besar iaitu China dan Amerika Syarikat. Secara tidak langsung, pergeseran ini memberikan kesan kepada Malaysia yang terletak di tengah-tengah laluan perdagangan antarabangsa dan juga rantau Indo-Pasifik.
Pencerobohan kapal China dan Kertas Putih Pertahanan
Selain daripada itu, isu kehadiran kapal Pasukan Pengawal Pantai China (China Coast Guard) sekali lagi mendapat perhatian berikutan kehadiran kapal-kapal tersebut di kawasan perairan Indonesia dan juga Malaysia.
Pemerhati antarabangsa melaporkan kehadiran kapal CCG yang dianggap kerap berlaku di kawasan perairan negara terutamanya di Beting Patinggi Ali.
Baru-baru ini, Kementerian Pertahanan Malaysia menegaskan bahawa kawasan tersebut merupakan milik negara dan ia berada dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.
Isu pencerobohan kapal kerajaan kuasa besar di luar pesisir Sabah dan Sarawak turut dilaporkan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentangkan pada tahun 2019.
Menurut dokumen itu, pencerobohan ini adalah jelas bertentangan dengan hak kedaulatan negara di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di Laut China Selatan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang antarabangsa.
KPP menyatakan Zon Maritim Malaysia adalah luas dan merangkumi ZEE pelantar benua dan ruang udara di atasnya.
Bagi mempertahankan kawasan ini, ATM bergantung kepada aset udara dan juga laut.
“Justeru, ATM bergantung pada dua kelas kapal perang iaitu Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) dan Kapal Ronda Generasi Baru (New Generation Patrol Vessel, NGPV) yang mampu melaksanakan operasi di kawasan ini dengan jarak, ketahanan dan keupayaan yang diperlukan,” jelas dokumen itu.
LCS: Duri dalam daging
LCS merupakan antara isu yang membelenggu pertahanan negara semenjak akhir-akhir ini. Pada tahun lalu, Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah mendedahkan kepincangan yang berlaku terhadap projek tersebut.
Terbaharu, Panglima Tentera Laut ke-18, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayub mendedahkan perolehan kumpulan pertama LCS telah dikurangkan kepada 5 buah berbanding 6 pada perancangan asal.
Menyentuh LCS, Reza menegaskan projek itu perlu diteruskan.
“Kerajaan perlu menentukan projek LCS diteruskan dan disiapkan dengan jayanya,” katanya.
Kelewatan LCS dilihat telah menganggu perjalanan Pelan Transformasi 15-to-5 sehinggakan TLDM perlu melakukan pelbagai inisiatif untuk memastikan aset-aset sedia ada untuk terus berupaya memikul amanah dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara.
Antaranya melaksanakan pelbagai program refit, repowering, dan selenggaraan Obsolescence Programme. Walaupun begitu, usaha ini tidak akan memadamkan realiti bahawa aset-aset TLDM yang berusia perlu digantikan.
Titah Sultan Selangor dan aset usang
Isu keadaan semasa aset TLDM turut mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Baginda yang juga merupakan Kapten Yang di-Pertua TLDM bertitah bahawa kapal-kapal TLDM yang berusia perlu diganti.
Pada akhir Disember lalu, sebuah kapal milik Tentera Laut Diraja Thailand (Royal Thai Navy), HTMS SUKHOTHAI telah tenggelam di perairan teluk Siam. Insiden yang menimpa kapal berusia 35 tahun ini umpama ‘amaran awal’ buat Malaysia kerana usia kapal tersebut ‘agak muda’ berbanding KD KASTURI dan KD LEKIR. Malah, majoriti aset TLDM telah pun melebihi usia 40 tahun terutamanya FAC.
Malah, angkatan laut negara menyatakan pihaknya akan mengkaji SOP operasi kapal berusia bagi mengelakkan insiden malang negara jiran menimpa TLDM.
Selain daripada itu, angkatan laut negara mengalami kekurangan aset berkeupayaan tempur (kombatan). Keadaan ini telah menganggu perjalanan eksesais terbesar TLDM, Eks Kerismas pada tahun lalu.
LMS Batch 2 sebagai langkah awal isi jurang aset kombatan
Situasi kekurangan aset tempur telah pun disuarakan oleh TLDM termasuk oleh Reza sendiri semasa beliau menerajui TLDM pada satu ketika dahulu. Situasi ini sudah tentu merunsingkan di Armada Timur TLDM yang berhadapan dengan isu pencerobohan kapal kerajaan asing di kawasan mereka.
Reza pernah menyatakan tugas mempertahankan laut yang luas dengan aset yang tidak setara dengan tugas diumpamakan oleh beliau sebagai “disuruh tebang pokok guna pisau cukur”.
Panglima Tentera Laut ke-18 baru-baru ini turut menyuarakan isu jurang aset kombatan dan keperluan untuk memperolehi LMSB2 dalam masa terdekat.
Dalam menghadapi situasi ini, TLDM sekali lagi menyuarakan keperluan untuk memperolehi LMS baharu dalam masa terdekat. Sehingga kini, kerajaan belum memutuskan perolehan 3 buah LMSB2.
Bagi Reza, kerajaan perlu menyediakan peruntukan sewajarnya bagi memastikan LMS dapat dilaksanakan dengan segera.
“Kerajaan perlu menyediakan peruntukan sewajarnya supaya LMSB2 dapat direalisasikan dalam masa terdekat dan sebelum terlambat,” tegasnya.
LMS merupakan salah satu komponen daripada perancangan 15-to-5. Panglima Tentera Laut ke-18 baru-baru ini menjelaskan LMSB2 digariskan untuk mempunyai keupayaan tempur berbanding LMS yang diperolehi dari China.
Menurutnya, TLDM berharap perolehan LMSB2 dapat diputuskan pada tahun ini memandangkan proses perolehan sesebuah kapal akan memakan masa yang agak lama.
Malah, TLDM terpaksa bertahan dengan aset sedia ada sementara menanti aset baharu diterima. – airtimes.my