KUALA LUMPUR, 17 OKT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar pengeboman di Gaza dihentikan dengan segera.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Anwar berkata, beliau telah menerima panggilan telefon dengan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia kepada rakyat Palestin.
“Memandangkan situasi teruk di Gaza, saya sangat menyokong pemberhentian segera pengeboman dan penubuhan koridor kemanusiaan di Rafah,
“Ia juga penting bagi Israel untuk meninggalkan pematuhan mereka kepada politik pelupusan, segera gencatan senjata dengan Hamas dan benar-benar mengejar resolusi aman untuk menamatkan konflik yang berterusan,
“Adalah penting dan paling penting untuk mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan semua individu yang terjejas akibat krisis ini,” katanya pada Selasa.
Tegasnya, atas semangat ini, Malaysia komited untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan, khususnya dalam bentuk bekalan makanan dan ubat-ubatan bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin.
Serangan pengeboman Zionis Israel sejak 10 hari lalu menyebabkan seramai 2,670 rakyat Palestin maut termasuk 750 kanak-kanak.
Ketika ini, pengeboman Israel ke atas Semenanjung Gaza masih berterusan.
Dianggarkan 2.3 juta rakyat Palestin masih terperangkap.
Keadaan di Gaza semakin buruk dengan bekalan air, makanan, elektrik, ubat-ubatan juga tidak mencukupi untuk menampung 2.3 juta penduduk Palestin. -airtimes.my
#global #DSAI #Malaysia #Israel #airtimes