KUALA LUMPUR, 26 Okt – Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari dari DAP, Young Syefura Othman disahkan bertanding di kerusi Parlimen Bentong dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara tersebut diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pada sidang media pengumuman calon kerusi Parlimen DAP bagi negeri Pahang, hari ini.
Selain Young Syefura yang juga dikenali Rara, DAP turut mempertaruhkan lagi 3 calon bagi negeri Pahang dalam PRU15.
3 calon berkenaan adalah penyandang Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang bertanding di Lipis, penyandang ADUN Tras, Chow Yu Hui (Raub) dan penyandang ADUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong di Parlimen Cameron Highlands.
Menurut Anthony Loke, ini merupakan strategi penting yang dipertimbangkan oleh DAP dengan meletakkan muka baharu tetapi dengan pengalaman mengendalikan DUN masing-masing.
“Jadi ini merupakan satu strategi penting dipertimbangkan oleh DAP, kita letakkan muka baharu tetapi dengan pengalaman iaitu ada pengalaman di kawasan tersebut, yang sudah berkhidmat di sana, pengundi mengenali mereka dan mereka akan bertanding di peringkat Parlimen,” katanya.
Katanya lagi, DAP tahu beberapa kerusi panas terutamanya Bentong dan Raub, tetapi ini adalah kerusi marginal, pimpinan pusat meletakkan tumpuan yang amat besar kerusi yang akan dipertandingkan
“Kita ambil pendekatan untuk memberi sokongan penuh daripada ibu pejabat kepada beberapa kerusi ini,” ujarnya. – airtimes.my