KUALA LUMPUR, 20 Apr – Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) hari ini mengumumkan dua lantikan baharu dalam empat anggota ahli Lembaga Pemegang pertubuhan itu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Pengerusi YPB dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Timbalan Pengerusi berkuatkuasa 14 April 2020.
Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam satu kenyataan berkata, tiada sebarang perubahan bagi dua ahli Lembaga Pemegang Amanah YPB sedia ada, iaitu Tan Sri Dr Zeti Aziz dan Tan Sri Setia Haji Ambrin Buang.
“Tan Sri Dr Zeti Aziz ialah Pengerusi Kumpulan PNB yang merupakan syarikat pelaburan YPB, dan Tan Sri Ambrin ialah mantan Ketua Audit Negara Malaysia dan juga merupakan wakil dari sektor swasta,
“Lembaga Pemegang Amanah YPB dan Lembaga Pengarah PNB mengalu-alukan pelantikan baharu barisan Lembaga Pemegang Amanah YPB dan akan bekerjasama rapat dengan kepimpinan serta bimbingan mereka bagi membawa PNB ke tahap seterusnya dalam usaha untuk menjadi sebuah firma pelaburan distinktif bertaraf dunia, yang terus gigih menghasilkan pulangan mampan untuk 14 juta pemegang unitnya,” katanya.
Selain itu, Lembaga Pemegang Amanah YPB dan Lembaga Pengarah PNB turut merakamkan penghargaan kepada mantan Pengerusi YPB, Tun Dr Mahathir Mohamad dan mantan Pengerusi Alternatif, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas bimbingan dan sumbangan mereka sepanjang tempoh kepimpinan. – AirTimes