BANGKOK, 3 JUL – Kerajaan Thailand dilaporkan mula mengundurkan pasukan tenteranya dari wilayah selatan negara itu.
Perkara tersebut disahkan oleh wakil tentera Thailand, Leftenan Jeneral Santi Sakuntanak,
Menurut beliau, pengunduran secara berperingkat mula dilaksanakan semenjak Sabtu lalu.
“Pihak keselamatan telah menggariskan rancangan untuk mengurangkan kehadiran pasukan tentera serta menamatkan darurat di Selatan Thailand dalam tempoh 4 tahun akan datang,” lapor Bangkok Post.
Jelas laporan itu, langkah pengunduran dilakukan buat kali pertama semenjak kawasan selatan negara itu terjerumus ke dalam kancah konflik semenjak 2005.
“Dalam tempoh awal konflik dari tahun 2004 hingga 2010, misi utama pasukan tentera adalah untuk membendung ancaman keselamatan,
“Selain daripada itu, pasukan tentera ditugaskan untuk menentang kegiatan insurgensi<” kata Santi yang dipetik oleh Bangkok Post.
Tambahnya, usaha untuk membendung ketengangan di wilayah Selatan Thailand melibatkan penambahan anggota tentera dari kawasan lain di negara itu.
“Tentera yang terlibat turut ditugaskan untuk memantau gerakan kumpulan pemisah di 217 perkampungan,” kata laporan itu.
Santi turut menjelaskan anggota tentera yang terlibat telah diberikan taklimat akan peranan mereka untuk memenangi hati rakyat bagi menggalakkan proses keamanan di wilayah terlibat.
Thailand turut menubuhkan pasukan gabungan yang terdiri daripada 1,700 anggota dari pasukan polis dan pegawai awam bagi melakukan tugas melindungi keamanan di 37 daerah semenjak tahun 2011.
“Seramai 7,000 sukarelawan pertahanan turut dihantar bagi melakukan kawalan keselamatan,
“Dengan kehadiran lebih ramai anggota polis dan pegawai pertahanan, tentera mula berundur serta kembali ke kem masing-masing,” katanya.
Wilayah Selatan Thailand telah berdepan dengan krisis keamanan semenjak tahun 2004 dengan peningkatan kegiatan kumpulan pemisah.
Menurut laporan itu, krisis yang berlaku telah menjejaskan kegiatan ekonomi serta komuniti di Yala, Narathiwat, Pattani dan sebahagian daripada Songkhla.
“Keganasan tercetus pada Januari 2004 apabila kumpulan militan telah menawan kem tentera Kromluang Narathiwat Ratchanakarin di Narathiwat,
“Kumpulan bersenjata terbabit telah berjaya membawa lari sejumlah besar senjata api,
“Kecurian senjata api tersebut telah membawa kepada gelombang serangan dan peningkatan kegiatan pemisah yang mahukan kuasa autonomi,
“Kerajaan tempatan telah menggunakan pelbagai strategi untuk menenangkan keadaan tetapi gagal,” kata laporan media Thailand.
Pada akhir Mei lalu, kerajaan Thailand telah melanjutkan dekri darurat di beberapa kawasan di wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat. Tempoh darurat tersebut telah dilanjutkan selama 3 bulan mulai 20 Jun hingga 19 September 2023.
Daerah Si Sakhon, Sungai Kolok, Waeng dan Sukhirin di Narathiwat adalah antara terkecuali dari pelanjutan dekri darurat. Selain itu. 4 daerah di Pattani (Yaring, Mayo, Mai Kaen, Mae Lan) serta 2 di Yala (Betong, Kabang) turut dikecualikan dari dekri tersebut. – airtimes.my