BEIJING, 17 Okt – Presiden China, Xi Jinping menegaskan kekuatan ketenteraan negara kuasa besar Asia itu perlu dipertingkatkan dalam kadar segera.
Menurut beliau, kekuatan ketenteraan China perlu mencapai kelasnya yang tersendiri dalam persada global.
“Parti Komunis China (CPC) akan mempertingkatkan kadar latihan anggota tentera dan meningkatkan kesiagaan pada semua peringkat,” kata Xi dalam ucapan pembukaan Kongres Kebangsaan ke-20 CPC semalam.
Menurut beliau, China perlu mempertingkatkan keupayaan strategik bagi melindungi kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan negara itu.
“Kita akan mempercepatkan usaha untuk memodenkan kekuatan ketenteraan dari segi teori, keanggotaan dan persenjataan,
“China akan mempertingkatkan keupayaan strategik ketenteraannya,” tegas beliau.
Pada masa yang sama, Presiden China turut mengarahkan peningkatan usaha dari segi pelaksanaan, disiplin dan menentang budaya korup dalam tentera.
Dalam pada itu, Xi menegaskan isu antara China dan Taiwan adalah isu yang perlu diselesaikan olah warga China sendiri tanpa perlu campur tangan luar.
Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) merupakan angkatan tentera kedua terbesar di global selepas Amerika Syarikat.
Presiden Xi sebelum ini berazam untuk memodenkan kekuatan PLA sebelum pasukan tentera itu akan mencapai usia 100 tahun penubuhan pada 2027. – airtimes.my