[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=ODIQdmOLn_Y[/embedyt]
Belanjawan 2022 bakal dibentangkan pada 29 Oktober 2021. Seperti tahun-tahun sebelumya, belanjawan pertahanan merupakan antara aspek yang sentiasa diberikan perhatian.
Walaupun begitu, umum sememangnya mengetahui bahawa kerajaan Malaysia telah banyak berbelanja bagi menampung kesan daripada pandemik COVID-19.
Menurut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menyatakan beliau faham bahawa negara terkesan dalam aspek perbelanjaan untuk COVID-19.
“Kita tahu banyak wang dibelanjakan agar negara terkeluar dan selamat dari pandemik ini,” katanya semasa Wawancara Khas Sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-88.
Jelasnya, pembangunan dan kesiagaan ATM perlu diperkukuhkan agar keselamatan dan pertahanan negara sentiasa terpelihara.
“ATM mempunyai rancangan pengurusan aset-aset yang merangkumi Program Senggaraan, Upgrading program dan Program Penggantian Aset Pertahanan bagi membolehkan ATM menjalankan fungsi mempertahankan negara,” jelas Panglima Angkatan Tentera.
Beliau menambah, ATM turut memberi fokus kepada Rancangan Pengurusan Aset selari dengan Tonggak 1 Strategi Pertahanan Negara iaitu Cegah Rintang Berpadu yang terkandung dalam Kertas Putih Pertahanan,
“ATM telah membuat perancangan operasi secara sistematik melalui aset-aset sedia ada bagi memberikan efek pertahanan yang lebih berkesan,”
“Ini terutamanya apabila ATM mendapati ada kekangan terhadap keupayaan dan bilangan aset untuk menjaga keseluruhan kawasan operasi,” katanya.
Tambahnya ATM mampu melaksanakan tugas dan peranan di dalam situasi semasa Melalui perancangan strategik.
Belanjawan operasi dan pembangunan
Lazimnya, belanjawan tahunan adalah merangkumi Perbelanjaan Operasi (Operational Expenditure, OE) dan Perbelanjaan Pembangunan (Development Expenditure).
Menurut Affendi, OE memberikan kesan kepada tahap kesiagaan secara harian.
“Ia berbentuk gaji, penyelenggaraan dan perkara-perkara yang memberikan kesan operasi semasa,
“Kita berharap belanjawan OE dikekalkan ataupun ditambah,” ujarnya.
Tegasnya, operasi ketenteraan sememangnya terkesan secara langsung dengan perbelanjaan sebegini.
“Perlu diingatkan bahawa kita tidak mempunyai jalan lain kerana we are system dependent (bergantung kepada sistem),
“Operasi-operasi dijalankan memerlukan minyak dan selenggaraan – ia memerlukan wang ringgit,” ujar beliau.
Jelas Affendi, ATM memberi keutamaan ke atas senggaraan peralatan aset bagi memastikan pengoperasian mencapai tahap optimum.
Selain daripada itu, ATM turut melakukan langkah penjimatan bagi mengurangkan kos pentadbiran dan pengurusan pejabat.
“Memang tidak dapat dinafikan COVID-19 memberi impak yang tinggi kepada ekonomi negara, namun dari sudut pembangunan dan kesiagaan ATM, ia tetap diperkukuhkan agar keselamatan dan pertahanan negara sentiasa terpelihara,” ujar beliau.
Tegas Panglima Angkatan Tentera, Kesiagaan ATM ini sememangnya amat penting dalam memastikan kesejahteraan pertahanan dan kedaulatan negara.
“Justeru, senggaraan dan perolehan aset-aset ATM juga terkait langsung dengan prestasi ekonomi negara yang menjadi sumber dana peruntukan senggaraan dan perolehan,” jelasnya.
Pada masa yang sama, belaiau turut menekankan aspek kesiagaan perlu diutamakan kerana ancaman berlaku pada bila-bila masa.“
“Sama ada kita berada dalam waktu pandemik ataupun tidak, ancaman sentiasa wujud. Saya harap kerajaan memberikan fokus dan perhatian kepada perkara ini,” jelas Affendi.
Ancaman dan geopolitik serantau
Panglima Angkatan Tentera menjelaskan ATM perlu sentiasa bersedia sepanjang masa bagi menghadapi keadaan geostragik semasa yang sentiasa berubah-ubah.
“Kita perlu bersedia untuk memastikan bahawa perancangan selama ini dapat menangani apa jua bentuk ancaman,
“Ancaman sentiasa wujud,” katanya.
Tambahnya, Suasana geo-politik serantau yang tidak menentu, isu tuntutan bertindih kepulauan Spratly dan isu persempadanan negara yang berpanjangan serta pelbagai ancaman lain menjadikan ATM perlu kesiapsiagaan tinggi bagi mempertahankan serta memelihara kedaulatan negara
“Bagi tujuan tersebut, ATM berharap Kerajaan menyediakan belanjawan secukupnya bagi membolehkan penyelenggaraan aset-aset, perolehan baru baru gantian aset-aset dan persenjataan usang dapat direalisasikan,
Pertahanan adalah pelaburan berterusan
Affendi berharap belanjawan untuk ATM pada tahun hadapan perlu mengambilkira pelbagai keperluan oleh pihaknya.
“Antaranya kos bagi kelangsungan pelbagai kursus dan latihan ketenteraan yang telah sedia dirancang,
“Kedua-dua perkara ini adalah ongoing investment (pelaburan berterusan) dalam meningkatkan strategic readines (kesiagaan strategik,
“Ini bagi memastikan anggota ATM akan sentiasa intelek dan berkebolehan mengendalikan pelbagai peralatan dan persenjataan berteknologi terkini dan akan datang,” jelasnya.
Selain daripada itu, beliau turut menyatakan ATM memerlukan belanjawan secukupnya bagi membolehkan bantuan petugas Sekatan Jalan Raya, kemudahan perubatan dan lain-lain bantuan logistik kepada pihak berkuasa awam dalam menangani ancaman wabak COVID-19.
“Ini memastikan ATM mampu melaksanakan tugas tersebut dengan lebih efisien dan berkesan selagi mana diperlukan tanpa menjejaskan primary task (tugas utama) iaitu mempertahan kedaulatan negara dari anasir-anasir asing,” ujarnya.
Affendi turut menyatakan ATM akan berterusan melaksnakan tadbir urus yang terbaik dalam semua aspek pengurusan termasuklah dokongan logistik yang berkesan dan sumber manusia yang kompeten.
“Perhatian juga diberikan kepada semakan kepada setiap polisi, perancangan dan pelan operasi agar ianya dapat mendokong aspirasi memperkasakan kesiagaan ATM di dalam landskap semasa,” tambahnya. – airtimes.my
Bersambung….
Ikuti sambungan siri artikel wawancara khas Panglima Angkatan Tentera di portal Air Times pada tengah hari esok.