KUALA LUMPUR, 27 Jan – Sebuah mahkamah di Luxembourg mengetepikan perintah penahanan yang dipohon oleh pewaris Kesultanan Sulu untuk menyita aset syarikat cari gali, Petronas di negara itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perintah itu dipohon oleh mereka pada 11 Julai 2022.
“Malaysia telah membantah secara konsisten prosiding timbang tara yang dikatakan itu seperti telah dirancang oleh pihak yang menuntut,
“Selain itu, Malaysia telah serta-merta membuat permohonan kepada Mahkamah Luxembourg untuk mendapatkan relif interim supaya perintah penahanan tersebut diketepikan,
“Pendengaran bagi permohonan itu telah berlangsung pada 5 Disember 2022 di hadapan hakim Mahkamah Luxembourg yang kemudiannya mengetepikan perintah penahanan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada 11 Julai lalu, sebuah permohonan sudah dibuat waris Kesultanan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan perintah di Mahkamah Belanda ke atas aset-aset negara yang dimiliki Petronas Azerbaijan dan Caucasus Selatan.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, mahkamah di Sepanyol pula sudah membuat keputusan bahawa pelantikan Dr Stampa sebagai penimbang tara secara tidak sah untuk menuntut bayaran sebanyak RM63.3 bilion (AS$14.92 bilion) ditolak.
“Keputusan Mahkamah Luxembourg tersebut telah menjustifikasikan prinsip kerajaan untuk mempertahankan Malaysia di mana-mana forum bagi memastikan kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara,
“Dalam hal ini, kerajaan akan terus berusaha untuk menamatkan segala tuntutan terhadap Malaysia,” ujarnya lagi. -airtimes.my