RANTAU PANJANG, 16 Mac – Tindakan seorang tekong warga tempatan yang cuba menyeludup masuk 6 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh gagal, apabila kenderaan yang dinaikki terbabas di Kampung Gual Bunut Kubang Kual, pada Rabu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, kejadian berlaku pada jam 7 malam membabitkan kereta jenis Volkswagen Jetta berwarna biru gelap yang dinaiki kesemua mangsa berusia dalam lingkungan 23 hingga 52 tahun.
“Pegawai dan anggota balai Rantau Panjang dan Balai Lubok Stol yang menjalankan rondaan Ops Tapis Bersepadu menegsan kereta yang terbabas di tepi jalan,
“Pemeriksaan dilakukan kemudian mendapati terdapat lelaki warga tempatan berusia 23 tahun dipercayai tekong membawa kesemua PATI berusia 23 sehingga 52 tahun,
“Mereka disyaki dibawa masuk dari negara jiran dan akibat kemalangan itu, 2 PATI cedera dan dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu untuk rawatan lanjut,” jelasnya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, tekong yang juga pemandu kenderaan itu dan 4 lagi PATI yang mengalami kecederaan ringan dibawa ke balai polis untuk tindakan seterusnya.
Nik Aminuddin berkata, semakan lanjut mendapati tekong yang juga penganggur itu mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.
Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala suspek warga tempatan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma). -airtimes.my