[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=GHAJbNcrYzA[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 18 Dis – Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) komited memberi tumpuan kepada aspek kebajikan bagi memartabatkan golongan veteran tentera ini sentiasa terbela.
Presiden PVTLDM, Laksamana Pertama Mohamad Imran Abd Hamid (Bersara) berkata, pihaknya juga akan terus memberi sokongan dan perhatian kepada pengukuhan ekonomi golongan ini melalui skim-skim yang telah disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM).
“Cawangan PVTLDM telah ditubuhkan di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Kini jumlah keseluruhan ahli hampir 9,000 orang termasuk anggota bersekutu,
“Pelbagai aktiviti kebajikan telah dilakukan dengan lancar dan hasil kerjasama serta bantuan dari pihak JHEV ATM,
“Pada tahun hadapan pula, tumpuan diberikan kepada perkukuhan ekonomi ahli persatuan melalui ruang-ruang yang dimajukan dengan bantuan JHEV,
“Tanpa bantuan JHEV ATM persatuan sukar untuk bergerak,” jelasnya ketika Majlis Persidangan Perwakilan Tahunan Negara PVTLDM ke-13, hari ini.
Menurutnya, persatuan yang memasuki tahun ke-14 pertubuhannya ini turut rasa bersyukur dengan bantuan dan program yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan iaitu Kempen Tabung Pahlawan (KTP), di mana melalui kempen ini persatuan juga telah berjaya membantu golongan veteran yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Dari segi kewangan di persatuan negeri pun semakin kukuh dengan ada kutipan KTP yang dikendalikan oleh JHEV ATM. Apabila kami membuat kutipan dibantu juga JHEV dengan Matching Grant yang diberikan, benar-benar membantu kami,
“Dalam keadaan COVID-19 pun, JHEV telah menghulurkan pelbagai bantuan termasuk bakul makanan dari Kementerian Pertahanan untuk diagihkan kepada ahli persatuan yang memerlukan, “ jelasnya.
Mohamad Imran menjelaskan, pihaknya akan terus menjadi orang tengah di antara JHEV ATM dengan golongan veteran dalam meningkatkan martabat persatuan dan membantu veteran yang memerlukan.
Sementara itu, beliau menjelaskan, persidangan pada kali ini diadakan bagi memilih Ahli Jawatankuasa Tertinggi bagi tahun 2021 sehingga 2024 bagi meneruskan agenda persatuan ini.
“Seperti mana yang kita lihat hari ini, terdapat booth-booth jualan yang mana ia adalah hasil kerja dan produk dari ahli sendiri,
“Kami akan teruskan misi atau sasaran untuk menyediakan setiap negeri mempunyai sebuah pejabat persatuan bagi memudahkan urusan dan pentadbiran mereka,
“Selain itu, kami juga memerlukan dana di setiap persatuan negeri melebihi RM50 ribu bagi membantu veteran setempat,
“Usaha mengutip dana ini akan diteruskan melalui pelbagai aktiviti di peringkat negeri,” jelasnya.
Terdahulu, seramai hampir 250 ahli PVTLDM yang mewakili persatuan dari negeri masing-masing hadir ke persidangan kali ini. -airtimes.my