[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=p3i8uN6TfqA[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 13 Mac – Sebanyak 97 peratus penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) merupakan warga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Muhamad Hasan memaklumkan, peratusan tersebut merupakan sebahagian daripada 9,000 orang veteran yang menerima BSH bulanan sebanyak RM300 sebulan.
“Sebanyak 97 peratus daripada 9,000 penerima BSH sebanyak RM300 sebulan itu iaitu seramai 8,730 orang adalah merupakan veteran tidak berpencen,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dari Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas [Mersing] yang minta Menteri Pertahanan menyatakan sejauh mana pelaksanaan skim Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada veteran-veteran ATM yang tidak berpencen khususnya kategori B40.
Menurutnya, Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) ATM sentiasa berusaha untuk memastikan kebajikan warga veteran ATM sama ada berpencen atau tidak berpencen sentiasa terpelihara.
“Sehubungan itu, pelbagai usaha dari pihak JHEV ATM telah dilakukan untuk mengesan veteran ATM yang tidak berdaftar dengan mana-mana persatuan veteran ATM,
“Kami (MINDEF) menggalakan serta memohon persatuan veteran ATM untuk mencari dan mendaftarkan veteran-veteran yang masih belum berdaftar untuk mendapatkan data mereka,
“Jumlah veteran ATM yang telah berdaftar melebihi 200,000 ribu. Kebanyakkan mereka yang tidak berdaftar ini adalah mereka yang dari kawasan Sabah dan Sarawak. Ia telah menyukarkan pihak persatuan veteran untuk mengesan mereka,” jelasnya lagi.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan, Pengarah JHEV ATM telah ke Sabah untuk memastikan supaya kebajikan hal ehwal veteran ini dapat diselesaikan secepat mungkin.
Dalam masa yang sama, Muhamad turut menjelaskan, kementerian sedang berusaha untuk menambah bilangan penerima BSH daripada 9,000 orang kepada 15,000 orang secara bersasar.
“Bagi tambahan ini, kebanyakkan mereka yang akan dibagi (jika diluluskan) bantuan tambahan sebanyak RM21 juta adalah dipertimbangkan kepada mereka yang berumur 80 tahun ke atas,
“Selain itu, kementerian akan mengkaji mereka yang layak menjadi penerima terutamanya golongan dibawah B40 untuk diberikan keutamanaan menerima bantuan tersebut,” ujarnya. -airtimes.my