KUALA LUMPUR, 17 Feb – Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (Bersara), Datuk Khlir Mohd Nor menuntut supaya kerajaan membuat semula pelarasan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pada masa yang sama, beliau turut menggesa kerajaan untuk memberi pencen kepada anggota yang tidak berpencen.
Menurut Khlir, majoriti golongan veteran tentera tergolong dalam kategori B40.
Beliau berkata, perbezaan kadar pencen pesara baru dan lama diantara 31.5 peratus 36.1 peratus menyebabkan 98.1 peratus daripada mereka berada dalam kategori tersebut.
Jelasnya, ATM telah membuat penyelarasan gaji kepada anggota tentera pada tahun 2014 namun, ianya tidak dilakukan terhadap anggota yang sudah berpencen.
“Yang di-Pertuan Agong bertitah, dalam memajukan negara, aspek keselamatan dan pertahanan negara perlu dititiberatkan. Ini termasuk penyelenggaraan serta perolehan peratan dan kelengkapan baharu,
“Disamping penyelenggaraan fasiliti ketenteraan, aspek moral anggota ATM juga perlu dinaikkan bagi menentukan pertahanan negara berada dalam keadaan siap siaga,
“Justeru itu, anggota dan veteran ATM mesti dijaga dan diambil cakna oleh kerajaan Malaysia,” katanya dalam perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu.
Khlir menjelaskan, kebanyakkan veteran tentera menamatkan perkhidmatan dalam usia 38 hingga 42 tahun dan kesemua mereka berusaha keras bagi menampung kehidupan seharian.
“Bayangkan mereka masih muda 38 hingga 42 tahun tetapi sudah pencen, anak-anak masih kecil dan mereka berusaha untuk meneruskan kehidupan,
“Hari ini Kementerian Kewangan bercakap tentang isu kemiskinan tegar tanpa kita sedar pesara-pesara tentera ini juga hampir 98.10 peratus tergolong dalam kategori B40,” jelasnya lagi.
Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa kerajaan supaya mengkaji semula dan membuat penambahbaikkan kadar pencen hilang upaya serta elaun semasa bagi meningkatkan kualiti hidup mereka yang terkorban mempertahankan negara.
“Difahamkan, kadar pencen hilang upaya kepada veteran cedera semasa tugas operasi masih menggunakan kadar lama iaitu kadar pada tahun 2000. Kadar semasa berkenaan boleh dianggap sudah lapuk dan boleh dikaji semula selepas 22 tahun,
“Kebanyakkan veteran berkenaan cedera 21 hingga 100 peratus semasa menjalankan tugas menentang pengganas komunis. Kesemua mereka layak menerima alaun layanan semasa,
“Saya mohon Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan untuk menambah baik kadar pencen hilang upaya dan kadar elaun layanan semasa yang terlepas pandang sejak 22 tahun dahulu,” ujar Khlir yang juga merupakan seorang pesara tentera berpangkat Jeneral.-airtimes.my