KUCHING, 30 Ogos – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membantu Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah menerbangkan 99,400 dos vaksin COVID-19 dari Sarawak ke Sabah, semalam.
TUDM dalam hantaran di media sosialnya memaklumkan, pesawat angkut C130 dari Pangkalan Udara Labuan telah menerbangkan vaksin jenis Comirnaty (Pfizer-Biontech) melalui pinjaman vaksin daripada kerajaan Sarawak di 3 lokasi iaitu Kuching, Sibu dan Bintulu untuk dibawa ke Tawau, Sabah.
“Pemindahan vaksin ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Sabah dalam meningkatkan pemberian vaksin di kalangan rakyat negeri itu bagi mencapai sasaran imunisasi kelompok iaitu 80 peratus rakyat Sabah telah divaksin pada Oktober 2021,” katanya.
Menurut TUDM, pesawat tersebut dikendalikan Juruterbang, Kapten Mohamad Zulkarnain Johari TUDM bersama Pembantu Juruterbang, Kapten Kapt Owi Wei Lunn TUDM; Jurutera Penerbangan, Mejar Mohd Azlan Mohd Ali TUDM; Jurumalim Kapten Muhammad Haikal Rasdi TUDM serta Kuartermaster Udara iaitu Pegawai Waren Udara II Freddie Francis Anak Biren serta Sarjan Udara Ridzuan Karmusakar tiba pada jam 11.30 pagi di Pangkalan Udara Kuching.
“Seterusnya pesawat telah berlepas dari Pangkalan Udara Kuching pada jam 12.30 tengah hari dan membuat pengambilan vaksin di Lapangan Terbang Sibu serta Lapangan Terbang Bintulu,
“Pesawat itu kemudiannya meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Tawau dan tiba pada jam 4.30 petang, bekalan vaksin tersebut seterusnya diserahkan kepada pihak Jabatan Kesihatan negeri Sabah,” ujarnya. – airtimes.my
Galeri gambar: