PUTRAJAYA, 11 Jun – Pengoperasian Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara akan dibuka semula mulai 15 Jun ini.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan telah bersetuju membuka semula dan menyeragamkan waktu operasi UTC di seluruh negara mengikut Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lepas.
“Ini selaras dengan Teras Ketiga PENJANA iaitu meransang ekonomi melalui pelanjutan waktu perkhidmatan dalam norma baharu,
“Sehubungan itu, UTC akan beroperasi semula mulai 15 Jun 2020 (Isnin),” katanya.
Menurut kenyataan itu, waktu operasi UTC di seluruh negara adalah setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad kecuali pada cuti umum Persekutuan/Negeri.
“Waktu operasi di Semenanjung untuk hari berkerja pada jam 8 pagi hingga 9 malam dan hujung minggu jam 8 pagi hingga 5 petang,
“Manakala untuk Sabah, Sawarak dan Wilayah Persekutuan Labuan waktu operasi pada hari bekerja dan hujung minggu dibuka pada jam 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.
Selain itu, tiada waktu rehat bagi UTC seluruh negara kecuali pada hari Jumaat iaitu di Semenanjung bermula 12.15 tengahari hingga 2.45 petang, Sarawak (11.45 pagi – 2.15 petang), Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 11.30 pagi hingga 2.00 petang. – airtimes.my