Washington, 27 Mac – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan 60 diplomat Russia pulang, dan dijangka mengarahkan penutupan konsulat Russia di Seattle, susulan insiden seorang bekas perisik diracun di Britain.
Jerman, Perancis dan Ukraine turut mengambil langkah sama dan beberapa negara Eropah lain.
Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) berkata, wujud kemungkinan besar Russia bertanggungjawab meracun Sergei Skripal dan anak perempuannya di selatan England namun Russia menafikannya.
“Pada 4 Mac, Russia menggunakan agen saraf bertaraf ketenteraan untuk cuba membunuh seorang rakyat British dan anak perempuannya di Salisbury.
“Serangan terhadap sekutu kita di Britain ini membahayakan nyawa ramai penduduk lain dan menyebabkan kecederaan terhadap tiga mangsa lain termasuk seorang pegawai polis,” kata kenyataan Jabatan Negara AS.
Katanya, serangan melampau itu melanggar Konvensyen Senjata Kimia dan undang-undang antarabangsa.