SANDAKAN, 7 Sept – Seramai 750 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina yang ditahan di Depot Imigresen Tawau, Papar dan Kota Kinabalu sejak tahun 2020 berjaya dihantar pulang ke negara asal melalui jalan laut, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua PATI dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan, Sabah ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menerusi Program Pengusiran Tahanan PATI siri 9.
“Kesemua tahanan yang diusir berumur antara 1 hingga 88 tahun terdiri daripada 638 lelaki dewasa; 81 perempuan dewasa; 30 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah; seorang kanak-kanak berusia 23 bulan ke bawah,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Menurutnya, bagi tempoh tahun 2022, JIM Sabah telah mengusir seramai 1,519 PATI pelbagai warganegara yang terdiri daripada 3 jenis pengusiran iaitu melalui udara, laut dan darat.
“Pada 1 Januari sehingga 29 Ogos 2022, JIM Sabah telah berjaya melaksanakan program pengusiran sebanyak 67 kali dan dalam tempoh tersebut seramai 332 orang telah diusir melalui udara, 1,186 (jalan laut) dan seorang menggunakan jalan darat,
“Proses pengusiran tahanan di semua depot di Sabah tertangguh sebelum ini berikutan negara-negara asal tahanan memberikan alasan mereka sedang berhadapan dengan ancaman pandemik COVID-19,” ujarnya.
Khairul Dzaimee berkata, kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Hukuman yang dikenakan berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pengusiran keluar dari negara,
“Oleh itu, semua warga asing adalah diingatkan untuk memastikan mereka telah memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan terlebih dahulu sebelum masuk ke nagara ini,
“Semua agensi penguatkuasa di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, operasi pengusiran ini adalah merupakan sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di seluruh depot di negeri ini. – airtimes.my