SOUTH DAKOTA, 5 JAN – Sebuah pesawat pengebom Tentera Udara Amerika Syarikat (U.S Air Force, USAF) dilaporkan terhempas.
Kejadian berlaku ketika pesawat B-1B Lancer sedang melaksanakan penerbangan latihan di Pangkalan Tentera Udara Ellsworth (Ellsworth Air Force Base, Ellsworth AFB) dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pesawat malang terbabit terhempas ketika cuba mendarat di pangkalan udara pada 5.50 petang Khamis waktu tempatan (7.50 pagi waktu Malaysia).
“Ketika kejadian, B-1B sedang melaksanakan misi latihan penerbangan. Kesemua 4 anak kapal berjaya menyelamatkan diri,” kata pihak Ellsworth AFB di akaun media sosial rasminya.
Jelasnya, siasatan kemalangan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
B-1 Lancer merupakan pesawat pengebom supersonik yang mula dioperasikan oleh pihak USAF semenjak lewat 1980-an. Sebanyak 104 buah pesawat ikonik era Perang Dingin ini telah dihasilkan.
Difahamkan hanya 45 buah B-1B yang masih beroperasi sebelum insiden di Ellsworth AFB.
Pesawat pengebom ini mampu terbang pada kelajuan Mach 1.25 dan mampu terbang sejauh 9,400 kilometer dengan muatan senjata.
B-1B kali pertama digunakan dalam misi tempur pada Operation Desert Fox di Iraq pada 1998. Selain itu, pesawat ini juga digunakan dalam operasi serangan udara oleh pihak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terhadap Yugoslavia ketika Perang Kosovo.
Pesawat ini juga terlibat dalam beberapa misi tempur di Afghanistan, Iraq, dan Libya.
B-1B dijangka akan ditamatkan secara penuh pada tahun 2036. Peranan pesawat ini akan digantikan oleh Northrop Grumman B-21 Raider mulai tahun hadapan.
Pesawat pengebom strategik USAF ini juga pernah melakukan penerbangan lintas semasa Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada tahun 2017. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Global #B1B #B1Lancer