KUALA LUMPUR, 11 Mei – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan agar nilai ringgit sekali lagi ditetapkan pada RM3.80 kepada 1 dolar Amerika (USD), iaitu dasar kontroversi yang pernah diperkenalkan pada 20 tahun lalu bagi mengelakkan krisis kewangan Asia.
Tun Mahathir berkata, ketika ini ringgit tidak stabil kerana nilainya tidak ditetapkan dan dijamin pihak oleh kerajaan.
Beliau berkata, biarpun aktiviti dagangan negara yang kini melonjak naik dan menyumbang kepada ekonomi negara, namun nilai ringgit menjadi tidak stabil sewaktu negara dilanda wabak COVID-19.
“Apabila kita tetapkan nilai ringgit pada RM3.80 satu dollar AS dan kita jamin bekalan dollar AS kepada sesiapa yang sanggup membayar RM3.80 untuk satu dollar AS, maka nilai ringgit tidak lagi akan turun naik,
“Peniaga mata wang pun tidak dapat turunkan nilai ringgit dengan menjual ringgit dengan banyaknya untuk jatuhkan nilainya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Media baru-baru ini melaporkan, kejatuhan nilai mata wang tidak hanya eksklusif kepada ringgit, sebaliknya melibatkan banyak lagi mata wang lain.
Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) setakat jam 12.00 tengah hari 11 Mei 2022, ringgit didagang pada kadar RM4.3835 berbanding dolar Amerika.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, tindakan beliau menetapkan nilai ringgit pada RM3.80 berbanding Dolar Amerika pada 1997-98 dahulu telah dikecam oleh ramai pihak.
“Pendapat saya didapati semasa menangani krisis mata wang pada 1997-8. Walaupun tindakan Malaysia dikecam hebat tetapi ia berjaya menghentikan ketidaktentuan nilai ringgit dan kewangan kita dipulih semula,
“Akhirnya pihak IMF dan World Bank mengakui bahawa tindakan Malaysia berjaya menghentikan ketidaktentuan nilai ringgit dan kemiskinan yang berlaku kerananya,” katanya lagi.
Menurut Tun Mahathir, peniaga mata wang sama seperti bank, iaitu boleh memberi pinjam, atau menjual wang yang tiada pada mereka, dan pinjaman atau penjualan itu akan mejadi sah apabila wang tersebut disampaikan kepada peminjam atau pembeli kemudian.
Namun, tambahnya lagi, penjualan ringgit oleh pihak berkenaan menyebabkan pasar kewangan dipenuhi dengan ringgit. -airtimes.my