KUALA LUMPUR, 18 Feb – Operasi empat buah hotel milik Tabung Haji (TH) yang telah dipindah milik kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ) akan diteruskan seperti biasa dan tiada pekerja yang diberhentikan.
Tabung Haji bersama Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ) dalam satu kenyataannya hari ini berkata, hotel yang terbabit ialah TH Hotel Kota Kinabalu (Sabah); TH Hotel Bayan Lepas (Pulau Pinang); TH Hotel & Convention Centre Alor Setar (Kedah) dan TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu (Terenganu) akan terus diteruskan di bawah anak syarikat milikan penuh UJ, UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM).
“UJPM akan mengambil alih operasi keempat-empat hotel berkenaan yang sebelum ini di bawah seliaan TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR) bermula 1 April 2020,
“Semua hotel ini adalah sebahagian daripada pemindahan aset yang terdiri daripada 29 aset hartanah, satu (1) syarikat tidak tersenarai dan pegangan ekuiti yang mempunyai nilai semasa sebanyak RM9.63 bilion pada hari pemindahan,
“UJ sudah menerbitkan sukuk sejumlah RM19.6 bilion dan membayar RM300 juta tunai bagi melengkapkan transaksi ini,” jelas kenyataan itu.
Menurutnya, penubuhan UJPM adalah salah satu langkah untuk memastikan kesinambungan pekerjaan serta operasi hotel memandangkan aset-aset hotel di bawah milikan TH sudah berpindah milik kepada UJ pada Disember 2018 tanpa berlakunya perpindahan pengurusan dan kakitangan hotel.
“UJ juga sudah menyediakan dana bagi menambahbaik kemudahan dan fasiliti hotel untuk memberi manfaat kepada pengunjung,
“UJ juga ingin meyakinkan orang ramai bahawa hotel-hotel ini boleh digunakan seperti mana yang telah dipraktikkan dulu semasa musim operasi haji,” katanya.
Tabung Haji juga menegaskan tiada kakitangan THHR yang akan diberhentikan. Seramai 90 peratus daripada kakitangan THHR akan terus bekerja di rangkaian Raia Hotel, manakala 10 peratus kakitangan hotel akan diserap oleh THHR Kelana Jaya.
“Selain itu, 90 peratus kakitangan yang terbabit juga akan menerima sagu hati berdasarkan sumbangan yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan di THHR. TH akan sentiasa menjaga kebajikan kakitangan yang terlibat demi kelangsungan karier mereka di masa hadapan,” katanya.
Dalam masa yang sama TH menjelaskan pengambilalihan operasi dan perkhidmatan rangkaian hotel UJPM merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Semula dan Penstrukturan TH.
Langkah pengambilalihan operasi hotel-hotel ini daripada THHR adalah langkah yang perlu diambil oleh UJ bagi memenuhi mandat yang diberikan kerajaan bagi mengurangkan komitmennya,
“UJ memainkan peranan penting untuk memastikan objektif ini tercapai dan akan sentiasa giat berusaha untuk mengembangkan nilai aset-aset di bawah portfolio UJ,” tambahnya.
UJPM akan diterajui Muhammad Solleh Ramli, yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan perhotelan.
Beliau pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Proasset Management Sdn Bhd yang menjadi syarikat pengurusan Hotel MS Garden Kuantan, Pahang dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Hotel Seri Malaysia.
“TH dan UJ berharap rakyat Malaysia akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada pihak pengurusan baharu yang akan menjadi operator di empat hotel berkenaan,” katanya.