SEMENYIH, 10 Mac – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu sebuah universiti swasta ternama di Semenyih dan menahan 33 pekerja warga asing tidak memiliki dokumen perjalanan sah, pada Isnin lepas.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, warga asing yang ditahan itu bekerja sebagai tukang cuci dan tukang kebun yang terdiri daripada 27 warga Indonesia, 4 rakyat Pakistan selain masing-masing seorang warga Bangladesh serta Nepal.
“Universiti tersebut berkeluasan 118 ekar serta terbahagi kepada 10 blok utama telah diserbu oleh Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan JIM Putrajaya,
“Kesemua warga asing ini bekerja dari jam 7 pagi hingga 4.30 petang di dalam kawasan universiti,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, semasa serbuan tersebut, pihaknya telah memeriksa 40 orang warga asing dari pelbagai warganegara yang berumur lingkungan 22 hingga 67 tahun.
“Semasa serbuan dilakukan, warga asing yang bekerja sebagai tukang kebun cuba melarikan diri dengan memanjat bukit yang terletak di belakang bangunan asrama pelajar,
“Manakala tukang cuci cuba mengaburi mata pegawai penguatkuasa dengan membuka pakaian seragam mereka dan menggunakan pakaian biasa,
“Ada juga yang bersembunyi di dalam bilik kecil namun segala usaha warga asing ini berjaya dipatahkan dengan tindakan pantas anggota serbuan,” ujarnya.
Menurutnya, hasil maklumat risikan diperoleh, pekerja warga asing ini bekerja di universiti ini lebih kurang 2 tahun dan tidak pernah memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) serta tiada dokumen pengenalan diri.
“Syarikat yang menggajikan warga asing ini juga dikatakan tidak pernah memohon PLKS bagi pekerjanya,
“Sebanyak 7 saman saksi dikenakan ke atas pengurus dan penyelia di syarikat tersebut bagi mengesan majikan sebenar,” jelasnya.
Katanya, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” tegasnya. – airtimes.my