NEW YORK, 7 DIS – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres hari ini telah menggesa pihak Majlis Keselamatan (UNSC) untuk bertindak dalam isu yang berlaku di Gaza.
Beliau menggunakan peruntukan Artikel 99 dalam surat yang ditulis kepada Presiden Majlis Keselamatan PBB (UNSC), Jose Javier de Gasca Lopez Dominguez.
Artikel 99 merupakan salah satu Piagam PBB yang memberikan kuasa kepada Setiausaha Agung PBB untuk membawa sesuatu perkara untuk diberikan perhatian oleh UNSC. Ini terutamanya melibatkan perkara yang boleh mengancam kelestarian keamanan antarabangsa.
Dalam surat tersebut, Guterres menegaskan Artikel 99 digunakan kerana berpendapat situasi di Timur Tengah akan memberikan ancaman terhadap keselamatan dan keamanan antarabangsa.
“Peperangan telah berlanjutan lebih daripada 8 minggu di Gaza dan Israel telah menyebabkan kesengsaraan, kemusnahan fizikal serta trauma,” katanya.
Menurut beliau, 80 peratus daripada 2.2 juta populasi di Gaza telah menjadi pelarian dan ditempatkan di kawasan yang begitu sempit.
“Lebih daripada 1.1 juta penduduk Gaza berlindung di fasiliti UNRWA di Gaza, ini telah menyebabkan keadaan begitu sesak dan tidak sihat,
“Pelarian yang lain pula tidak mempunyai sebarang perlindungan dan terpaksa hidup di jalanan,” katanya.
Beliau menambah, sisa bahan letupan dari peperangan yang berlaku telah menyebabkan banyak kawasan di Gaza tidak boleh didiami.
“Penduduk awam tidak mempunyai sebarang perlindungan,” ujar beliau.
Guterres menambah, sistem kesihatan di Gaza telah lumpuh dan hospital menjadi medan pertempuran.
“Hanya 14 daripada 36 hospital yang ada mampu untuk beroperasi pada kadar yang minimum,
“2 hospital utama di kawasan selatan Gaza telah mengalami kesesakan dan terpaksa merawat jumlah pesakit yang begitu ramai – 3 kali ganda daripada kapasiti,” kata Setiausaha Agung PBB.
Beliau turut menyatakan hospital di Gaza mula kekurangan bahan asas dan juga bahan apai.
“Tiada tempat yang selamat di Gaza,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa serangan berterusan oleh Israel terhadap Gaza akan mencetuskan kekacauan yang lebih buruk berikutan keadaan yang mendesak. Selain itu, bantuan kemanusiaan adalah mustahil untuk dilakukan.
Dalam surat bertarikh 6 Disember itu, Guterres menegaskan beliau turut mengutuk serangan 7 Oktober yang dilancarkan oleh Hamas dan seramai 250 tahanan dibawa masuk ke Gaza.
“Masih terdapat lebih 130 orang menjadi tawanan di Gaza dan mereka perlu dibebaskan tanpa sebarang syarat,
“Selain itu, dakwaan serangan seksual semasa 7 Oktober adalah menggerunkan,” katanya.
Guterres turut menegaskan gencatan kemanusiaan perlu segera diadakan di Gaza.
Sementara itu, jurucakap PBB, Stephane Dujarric menjelaskan surat itu ditulis oleh Guterres berikutan bilangan kematian di Gaza dan Israel yang begitu tinggi.
“Ini merupakan kali pertama Antonio Guterres menggunakan perkara tersebut semenjak memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung PBB pada tahun 2017,” katanya. – airtimes.my
#AirTimes #Global #PBB