KUALA LUMPUR, 16 Jun – Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi menegaskan anggota tentera tidak layak menyarung uniform pasukan sekiranya terbabit dengan perbuatan tidak bermoral.
Beliau mengulas laporan berhubung seorang lelaki yang melakukan aksi lucah dengan memakai seragam tentera yang tersebar di media sosial baru-baru ini.
“Kami akan mengambil tindakan jika perkara itu benar dan mana-mana anggota yang melakukan aksi ini mereka tidak layak untuk memakai uniform ini.
“Apabila dapat pengesahan, tindakan akan diambil,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Tentera Darat di sini semalam.
Video berdurasi lebih empat minit dikesan dihantar dalam kumpulan WhatsApp pesara tentera sebelum laporan polis dibuat di Seberang Perai Utara.
Bahagian Hal Ehwal Awam, Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam satu kenyataan sebelum ini berkata perkara itu kini dalam siasatan – Bernama