KLUANG, 27 Jan – Polis Johor telah menjalankan tindakan pemusnahan sebutir bom lama ataupun Unexploded Ordnance (UXO) jenis Artillery Shell 85 milimeter (mm) yang ditemui berhampiran lampu isyarat Taman Sri Impian, semalam.
Polis Johor menerusi laman media sosial rasminya berkata, bom UXO tersebut dijumpai oleh orang awam yang sedang mencari cacing untuk umpan memancing.
“Tindakan pemusnahan In Situation (In-situ) telah dijalankan dengan menggunakan teknik High order melalui kaedah elektrik,
“Pemusnahan telah dijalankan dengan jayanya tanpa sebarang kehilangan ke atas nyawa dan kerosakan harta benda,” katanya.
Dalam masa yang sama, Polis Johor turut menyeru orang ramai sekiranya menjumpai objek yang mencurigai atau dipercayai bom agar melaporkan segera di mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.
“Diingatkan juga supaya jangan diusik, dialih atau digerakkan objek tersebut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini,” tambahnya. – airtimes.my