LUMUT, 28 Dis – Bomba Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menangkap sepasang ular sawa sedang mengawan dengan berat keseluruhan 250 kilogram di kawasan hutan di pangkalan TLDM di sini tengah hari semalam.
Memetik laporan Bernama, Pegawai Bomba dan Penyelamat Pangkalan TLDM, Leftenan Komander Meor Fuad Zakaria berkata kehadiran dua reptilia itu disedari seorang anggota TLDM yang melalui kawasan berhampiran sebelum menghubungi pihak bomba kira-kira 12.30 tengah hari tadi.
Meor Fuad berkata pihaknya kemudian segera ke lokasi dan apabila tiba mendapati reptilia tersebut sedang mengawan.
“Ular sawa betina sepanjang 4.5 meter manakala yang jantan pula dianggarkan tiga meter dan semasa kita menarik keluar kedua-dua haiwan tersebut tidak bertindak agresif.
“Seramai 10 orang termasuk enam anggota bomba terbabit dalam menangkap dua ekor ular berkenaan yang mengambil masa 20 minit,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Meor Fuad berkata kedua-dua reptilia tersebut dibawa ke balai dan disimpan di dalam tong yang memerlukan tenaga tiga hingga empat anggota untuk mengangkatnya.
“Ular berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara esok untuk tindakan lanjut,” katanya menambah ini kali pertama mereka menangkap ular sebesar itu di pangkalan berkenaan.
“Biarpun lokasi kejadian berada jauh dari penginapan anggota dan keluarga serta pejabat namun kita khuatir haiwan tersebut mampu memberi ancaman kepada penduduk,” katanya.