KUALA LUMPUR, 7 Jun – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mewakili seluruh rakyat Malaysia merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda, hari ini.
Muhyiddin dalam hantaran di Facebooknya berkata, beliau dan seluruh rakyat turut mendoakan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta kaum kerabat Seri Paduka Baginda berdua sentiasa sihat selamanya.
“Patik sekalian mendoakan semoga Allah SWT terus menganugerahkan KDYMM Tuanku kekuatan dan keberkatan untuk terus kekal bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan,
“Patik dan seluruh rakyat jelata juga berdoa mudah-mudahan Bagind dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta semua putera, puteri dan seluruh Kerabat Diraja sentiasa berada dalam lingkungan dan rahmat-Nya jua, dilanjutkan usia zaman serta berada dalam keadaan sihat walafiat selama-lamanya,” ujarnya.
Sebelum ini dilaporkan Yang di-Pertuan Agong berkenan menangguhkan semua acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputraan Rasmi itu ke satu tarikh yang lain setelah mengambil kira faktor keselamatan, kesihatan dan demi melindungi nyawa rakyat ekoran pandemik COVID-19.
Pada masa yang sama, Muhyiddin turut menyentuh mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh 3.0 yang dilaksanakan kerajaan bagi melandaikan lengkung jangkitan COVID-19.
“Insya-Allah, dengan segala usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan dalam melawan pandemik COVID-19 ini akan memperoleh kejayaan jua atas limpah perkenan dan naungan KDYMM Tuanku,” tambahnya. -airtimes.my