KOTA KINABALU, 18 Sept – Pasukan keselamatan dan aset pertahanan negara kini berada dalam keadaan siap sedia untuk berhadapan dengan sebarang ancaman demi mempertahankan kedaulatan Sabah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan tetap pertahankan kedaulatan Sabah termasuklah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membuat tuntuan terhadap negeri di bawah bayu itu.
“Tiada isu bahawa ATM tiada berkemampuan dan tidak bersedia untuk mempertahankan keselamatan Sabah,
“Kementerian Pertahanan yakin, kita (ATM) mampu mempertahankan Sabah dari sebarang bentuk ancaman, dan sekiranya ada ancaman dari negara luar kita juga mampu bertindak dengan seadanya. Saya hendak memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa, kita akan sedaya upaya mempertahankan kedaulatan Sabah,
“ATM tidak akan sesekali berkompromi dengan sesiapa pun, walaupun ada pihak menyarankan agar rundingan dilaksanakan dengan Filipina atas tuntuan baru mereka. Sekali lagi saya tegaskan, tiada rundingan akan dilakukan,”katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia di Hotel Hilton Kota Kinabalu, Sabah.
Beliau menegaskan bahawa tiada sebarang rundingan akan dilakukan berhubung tuntutan kerajaan Filipina ke atas Sabah kerana negeri itu adalah milik Malaysia buat selama-lamanya.
“Sabah tidak akan menjadi tuntutan bertindih seperti beberapa pulau yang lain. Sabah negeri yang sudah merdeka bersama Malaysia dan Sabah tetap hak Malayisa,” tambahnya.
Ismail Sabri turut menasihati penduduk di Sabah agar tidak perlu bimbang dengan keselamatan serta pertahanan negara kerana ATM serta pihak keselamatan lain akan terus memperkukuhkan kawalan di pantai timur terutama sempadan peraiaran negara Sabah dan Sarawak.
Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein juga menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berunding dan melayan sebarang tuntutan Filipina ke atas Sabah.
“Perlu difahami, tuntutan Filipina bukan sahaja tidak berasas, malah langsung tidak relevan. Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab cadangan dari Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal baru-baru ini agar kerajaan Malaysia berunding dengan Filipina mengenai tuntutan ke atas Sabah. –airtimes.my