KUALA LUMPUR, 19 Dis – Jenazah Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah, balu kepada Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein selamat disemadikan dan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara, kira-kira 3.30 petang ini.
Jenazah Tun Rahah, 87, disemadikan bersebelahan pusara kakaknya, Tun Suhailah Mohamed Noah, balu kepada Perdana Menteri ketiga Tun Hussein Onn, yang meninggal dunia pada 4 Okt 2014.
Solat jenazah, tahlil serta bacaan talkin dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Husni.
Allahyarhamah merupakan ibu kepada Perdana Menteri keenam Datuk Seri Najib Tun Razak.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah bersama-sama anggota keluarga Allahyarhamah menyaksikan perjalanan terakhir Tun Rahah.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa menteri kabinet, antaranya Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut menghadiri istiadat pengebumian itu.
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd Tan Sri Tony Fernandes juga memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.
Istiadat pengebumian berlangsung dalam keadaan cuaca mendung, seakan turut berduka dengan pemergian srikandi negara itu. Wajah-wajah pilu jelas kelihatan dalam kalangan hadirin yang mengiringi perjalanan terakhir Allahyarhamah di Lingkaran Makam Pahlawan.
Istiadat turut disiarkan secara langsung menerusi televisyen.
Usai tahlil dan bacaan talkin, Tunku Azizah memulakan upacara menyiram air mawar diikuti oleh Muhyiddin dan Najib serta anggota keluarga Allahyarhamah yang lain.
Ini diikuti upacara penyerahan bendera Malaysia oleh Mohd Sallehhuddin kepada Najib, menandakan selesai Istiadat Pengebumian Negara Tun Rahah. -Bernama