[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=ry45BPJf8-I[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 20 OKT – Tindakan Israel bertindak menyerang sebuah hospital di Gaza disifatkan sebagai kezaliman yang luar biasa.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Israel sebagai penganas antarabangsa yang merbahaya kerana menyerang hospital di Gaza sehingga mengorban ratusan rakyat Palestin tidak berdosa termasuk wanita dan kanak-kanak.
Menurutnya, perbuatan rejim Zionis itu bertentangan dan melanggar undang-undang antarabangsa yang tidak membenarkan hospital atau pusat perubatan diserang semasa peperangan.
“Ini satu bentuk kezaliman luar biasa yang telah dilakukan oleh Zionis Isreal yang kejam,
“Tindakan menyerang hospital semasa perang adalah satu bentuk perbuatan pengganas dan melanggar undang-undang antarabangsa.
“Atas sebab itu, kita berhimpun pada hari ini untuk menunjukkan rasa benci dan bantahan kita ke atas rejim Israel,” katanya ketika berucap sempena himpunan solidariti demi Gaza dan Palestin anjuran beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Jalan Tun Razak, pada Jumaat.
Hadir sama bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bekas ahli politik terkemuka, Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua serta aktivis sosial, Hishamuddin Rais.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia harus menentang Amerika Syarikat (AS) dan Britain yang jelas memberi sokongan kepada rejim Zionis Isreal.
Tegasnya, Israel berani melakukan perbuatan itu kerana disokong oleh AS.
“Keakraban mereka dengan Israel menyebabkan mereka sokong apabila Israel melakukan jenayah besar,
“Kita tidak boleh menerimanya sama sekali AS, Britain dan Eropah sebagai pejuang kemanusiaan kerana sifat mereka gagal cerminkan mereka sebagai negara dan manusia bertamadun,” ujarnya lagi.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu turut merayu kepada rakyat Malaysia untuk sama-sama menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat Palestin ketika ini.
“Janganlah setakat tunjuk perasaan sahaja. Kalau ada bantuan yang boleh diberi dalam bentuk wang atau makanan kita kumpul seberapa yang mampu untuk menolong mangsa kezaliman di Gaza..Insya-Allah tuhan bersama kita,” katanya.
Terdahulu Himpunan Gabung NGO dan PEJUANG telah menyerahkan satu memorandum di Keduataan Amerika Syarikat (AS) yang menggesa agar menarik balik sokongan terhadap pencerobohan Israel di Palestin.
Mereka berarak dari Menara Tabung Haji menuju ke Kedutaan AS di Jalan Tun Razak dengan memegang plakad mengecam Israel serta melaungkan ‘bebas Palestin’. -airtimes.my
#palestin #Malaysia #AS #airtimes #himpunan #pengganas