KUALA LUMPUR, 21 Okt – Gesekan biola Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang membuat penampilan istimewa pada Majlis Makan Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan (KPT) 2019 di Wisma Perwira hari ini memukau lebih 400 tetamu yang hadir.
Isteri Perdana Menteri itu mempersembahkan empat buah lagu iaitu Pahlawanku, Selendang Sutera, ‘In Our Tears’ dan ‘Coming Home’ diiringi Kombo Seni Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Kesemua lagu itu ditujukan khusus bagi menghargai jasa pejuang-pejuang negara.
Datuk Seri Siti Nurhaliza turut menyumbangkan suara mengiringi gesekan biola Siti Hasmah. Persembahan itu mengundang rasa sebak di kalangan hadirin majlis.
Terdahulu, Siti Hasmah yang merupakan penaung Tabung Pahlawan menerima replika cek dari para penderma korporat yang menyampaikan sumbangan.
Kempen Tabung Pahlawan 2019 yang dilancarkan semenjak 19 September lalu telah berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM 9.1 juta dari pelbagai peringkat termasuk individu, bank dan korporat.
Majlis makan malam yang diadakan bagi meraikan dan menghargai penyumbang dana Tabung Pahlawan menyaksikan sumbangan dari 65 syarikat dan individu termasuk Yayasan Al-Bukhary dan Weststar Group.