PUTRAJAYA, 8 JAN – Timbalan Pengerusi Gerakan Menuntut Malaysia Bersih (GMMB), Syarul Ema Rena hari ini mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak melaksanakan siasatan terhadap beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan Kertas Pandora (Pandora Papers).
Beliau mengulas kenyataan SPRM yang sebelum ini menyatakan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin disiasat berikutan maklumat yang terkandung dalam Kertas Pandora.
“Persoalannya, mengapa siasatan dijalankan secara selektif terhadap Tun Daim Zainuddin sahaja?
“(Ini) Memandangkan adalah diketahui umum bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menganggap Tun Daim sebagai musuh politiknya dan sering mengeluarkan kenyataan mengkritik beliau,
“Ini menimbulkan soal kebebasan serta integriti institusi,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Syarul Ema yang dikenali sebagai Ratu Naga, pihaknya ingin tahun mengapa SPRM tidak menyiasat beberapa individu yang telah disenaraikan dalam Kertas Pandora.
Kenyataan yang sama turut menyenaraikan beberapa individu berprofil tinggi di dalam Kertas Pandora termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; dan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Tun Abdul Taib.
Selain itu, GMMB turut menyatakan 6 individu lain yang terkandung dalam Kertas Pandora iaitu Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat, William Leong; Yamani Hafiz Musa; Mahmud Abu Bekir; Tiong Hiew King; Tiong Ik King dan Lim Kok Thay.
Terdahulu, Ratu Naga dan sekumpulan aktivis mengemukakan aduan kepada SPRM berkaitan individu-individu berkaitan Kertas Pandora yang belum diambil tindakan.
Kertas Pandora merupakan himpunan 11.9 juta dokumen kewangan yang telah dibocorkan. Dokumen ini telah diterbitkan oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) semenjak tahun 2021 dan merangkumi data kewangan individu.
Ini merangkumi akaun luar pesisir, pelaburan dan aktiviti kewangan peribadi.
Selain itu, ICIJ turut menghimpunkan beberapa siri kertas pendedahan lain seperti Paradise Papers, Bahamas Leaks, Panama Papers dan Offshore Leaks.
Kertas Pandora merupakan set data terkini yang diterima oleh badan itu.
Pada 30 Disember lalu, SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan kertas siasatan terhadap Tun Daim telah dibuka pada Februari 2023 dan mempunyai kaitan dengan Kertas Pandora.
Menurutnya, satu notis telah diserahkan kepada bekas Menteri Kewangan itu yang meminta beliau untuk mengisytiharkan segala aset miliknya sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis.
“Tun Daim telah memohon lanjutan sebanyak lima kali dan telah diberikan lanjutan pada 6 Julai 2023; 10 Ogos 2023; 11 September 2023; 11 Oktober 2023 dan yang terakhir 14 November 2023 untuk mengisytihar segala aset miliknya,
“Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya telah mengeluarkan Notis Penyitaan Menrara Ilham pada 18 Disember 2023,” kata SPRM dalam kenyataan pada 30 Disember lalu.
Tun Daim sebelum ini mendakwa siasatan SPRM terhadap beliau adalah bermotifkan politik. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Semasa #TunDaim #SPRM