KUALA LUMPUR , 21 Feb – Gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada skala Richter melanda Turkiye pada 1.04 pagi tadi (waktu Malaysia).
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, gempa dengan kedalaman 58 kilometer (km) itu berlaku pada jarak 114 km tenggara dari Adana, Turkiye.
“Gempa bumi berkenaan tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia,” jelas MetMalaysia menerusi hantaran di media sosialnya lewat malam tadi.
Terdahulu, 2 lagi gempa bumi kuat melanda Turkiye, terutama di bandar Antakya dan Adana, kira-kira 2 minggu selepas gempa yang mengorbankan puluhan ribu nyawa di wilayah berkenaan.
Gempa pertama berlaku pada kedalaman 16.7 kilometer (10.4 batu), manakala gempa kedua pada kedalaman 7 km (4.3 batu). Kedua-duanya dirasai di kawasan sekitar.
Pada 6 Februari, gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 magnitud yang berpusat di Kahramanmaras melanda 10 wilayah lain telah menjejaskan lebih 13 juta orang.
Sehingga kini, sekurang-kurangnya 41,000 orang terbunuh akibat gempa bumi besar di Turkiye, manakala beribu-ribu yang lain cedera. -airtimes.my