[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=_f9KYyy0Qbk[/embedyt]
‘DATANGMU tidak diundang, jika ragu harap pulang.’ Itulah ayat yang tertera di pintu masuk Pusat Latihan Gerup Gerak Khas di Kem Sungai Udang, Melaka bagi mana-mana anggota tentera yang berhajat untuk menyarung ‘beret hijau’.
Latihan lasak yang luar biasa perlu dilalui oleh setiap pelatih selama 3 bulan yang mencabar ketahanan mental dan fizikal merangkumi beberapa peringkat seperti kem, hutan, paya serta laut.
Lazimnya pada setiap kali pengambilan anggota komando tidak semua yang berjaya, malah lebih separuh daripada mereka gagal untuk menamatkan latihan dan kembali menjadi anggota tentera biasa.
Mereka diuji dengan pelbagai bentuk latihan seperti jalan lasak sejauh 160 kilometer (km), mendayung bot tempur secara taktikal sejauh 120km, ikhtiar hidup di dalam paya serta latihan perairan.
4 peringkat perlu ditempuhi sebelum bergelar Komando
Berkongsi pengalaman yang sama, Truper Danesh Vemal menjelaskan, hanya mereka yang benar-benar mempunyai kekuatan mental dan fizikal dapat menempuhi fasa-fasa tersebut.
Menurutnya, setiap fasa dalam Kursus Asas Komando mempunyai cabarannya tersendiri.
“Di dalam Kursus Asas Komando ini terdapat 4 peringkat iaitu Fasa Kem, Fasa Hutan, Fasa Paya dan terakhir Fasa Laut,
“Pada saya yang paling mencabar adalah ketika di peringkat hutan iaitu sesi latihan ikhtiar hidup. Kami perlu berusaha cari makan sendiri untuk teruskan hidup,
“Bagi saya ia amat sukar memandangkan saya seorang pengemar makanan, jadi berat sikit pada saya. Tapi atas pelajaran dan dorongan Jurulatih, kami tetap kena teruskan hidup dan cari makan sendiri,” jelasnya kepada Air Times.
Jalan lasak 160 km antara yang mencabar fizikal dan mental
Tambahnya, setiap peserta Kursus Asas Komando juga perlu menempuhi latihan berjalan lasak sejauh 160 km bagi melayakkan diri untuk bergelar seorang anggota komando Tentera Darat Malaysia (TDM).
“Satu lagi latihan ialah berjalan lasak sejauh 160 km, ia betul-betul mencabar sebab memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang sangat kuat untuk menempuhinya,
“Saya berasa sangat bersyukur dan berbangga dapat menempuhinya,
“Pada saya, untuk memasuki komando ini bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ia juga bukan satu perkara yang mustahil,” ujar lelaki berusia 24 tahun ini.
Komando askar terbaik dalam Malaysia – Kumaran
Sementara itu, bapa kepada Danesh, Kumaran Sinaya turut meluahkan rasa bersyukur dan bangga setelah anak sulungnya berjaya menamatkan kursus ini.
“Saya berasa sangat bangga apabila anak dapat masuk komando. Saya sentiasa memberi galakkan kepadanya agar terus bersemangat untuk memasuki komando. Dia telah buktikan dan berusaha serta berjuang sampai hari ini,
“Ada juga sedara mara yang masuk tentera tetapi bukan sebagai seorang anggota komando. Sebab itu, saya galakkan dia (Danesh) supaya buat lebih dari pakcik dia, komando yang paling tinggi, askar terbaik dalam Malaysia,
“Kami sekeluarga sentiada beri semangat kepada Danesh bermula dari Mersing sehingga ke Sungai Udang di Melaka,” jelasnya.
Tidak ramai kaum India sertai tentera
Mengulas lanjut, Kumaran berkata, walaupun penyertaan dari kaum India dilihat kurang dalam ketenteraan, tetapi tiada yang mustahil untuk anaknya terus berjaya dalam bidang ini.
“Memang jarang kaum India jadi anggota komando dan kurang dalam tentera, tetapi bagi saya, kalau sudah rezeki dan Danesh bersemangat biar dia teruskan,
“Saya selalu berpesan kepada Danesh agar meneruskan apa yang sudah dimulakan. Jangan sesekali mengundur dan dia telah buktikan kaum India juga mampu jadi seorang komando,
“Sudah pasti semua ahli keluarga kami menanti kepulangan anak kebanggaan kami,” kata bapa kepada 4 cahaya mata ini.
Dalam masa yang sama, Kumaran turut menasihati anak sulungnya itu agar meneruskan tugas di masa hadapan dengan penuh minat dan kesungguhan.
“Jalankan tugas dengan sebaiknya. Apa pihak atasan suruh, buat sahaja tugasan. Jangan cuba larikan diri atau sebagainya,
“Bertukar unit itu sudah biasa bagi seorang anggota tentera, Danesh kena akur dan kerja dengan bagus,” ujarnya.
Truper Danesh Vemal antara 277 penuntut yang menjalani Kursus Asas Komando Siri AK 1/22 bermula pada 14 Mac lalu. Namun, sehingga akhirnya hanya 123 orang penuntut sahaja berjaya menamatkan kursus tersebut dan dianugerahkan beret Hijau serta menjadi ahli keluarga GGK.
Majlis penutup kursus tersebut telah disempurnakan oleh Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mejar Jeneral Nubli Hashim di Pantai Betutu Laut, Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang, Melaka.-airtimes.my