KUALA LUMPUR, 23 Mac – Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman berusaha gigih sejak sembilan bulan lepas untuk melaksanakan tugas sukar mentransformasikan dana persaraan angkatan tentera itu menjadi sebuah dana bertaraf dunia.
“Ia sememangnya mencabar tetapi saya suka melakukan usaha penyusunan semula dan pemulihan. Sepanjang kerjaya saya, saya banyak terlibat dalam bidang ekuiti swasta dan kewangan korporat, jadi sebahagian besar daripada kerjaya saya berkisar dalam aktiviti penyusunan semula,” katanya.
Ahmad Nazim memiliki pengalaman selama dua dekad dalam kewangan korporat dan pelaburan. Sebelum menyertai LTAT, beliau bekerja di Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai pengarah urusan Southeast Asia of Allied Investment Partners, firma pelaburan dan penasihat.
Beliau juga memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan MARA Bhd dari 2013 hingga 2018, ahli pelopor lembaga pengarah National Bank of Abu Dhabi (Malaysia) Bhd dan ketika ini merupakan ahli lembaga Suruhanjaya Tenaga Malaysia, Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional Bhd, Boustead Holdings Bhd, dan Boustead Heavy Industries Corporation Bhd.
Beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi dan dasar awam di Sciences Po di Paris dan merupakan pemegang biasiswa J. William Fulbright di Georgetown University di mana beliau menerima Sarjana Undang-Undangnya.
Sejak menyandang tugas sebagai ketua pegawai eksekutif pada 15 Jun 2021, Ahmad Nazim tanpa berlengah terus memulakanya usahanya untuk menangani cabaran yang dihadapi LTAT, terutamanya dalam beberapa perkara kritikal yang memerlukan perhatian segera.
Dalam tempoh sembilan bulan beliau telah berjaya mempercepatkan usaha transformasi LTAT untuk menstabilkan dana tersebut, mengimbangi semula portfolio, menyediakan misi LTAT yang lebih jelas dan memantapkan tadbir urus, proses dalaman dan kawalan dana tersebut.
Kejayaan awal usaha tersebut dapat dilihat menerusi pengisytiharan kadar dividen sebanyak 4.1 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2021, peningkatan daripada 3.5 peratus pada 2020 dan yang tertinggi sejak 2018. Ia merupakan langkah pertama ke arah mengemudikan dana itu bagi mencapai pulangan yang mampan dan kompetitif bagi Angkatan Tentera Malaysia.
Visi
“Saya ingin melihat LTAT membangun menjadi dana persaraan bertaraf dunia…yang bermakna kami perlu dipacu oleh misi yang jelas dan objektif strategik, iaitu menjana pulangan pelaburan yang disokong oleh asas yang kukuh dalam tadbir urus.
“Keseluruhannya, misi itu seharusnya, dalam tempoh jangka panjang menyediakan pulangan yang stabil bagi dana pencen angkatan tenetra dan memberikan mereka jaminan kewangan dan sosial yang sewajarnya selepas persaraan,” katanya.
Pelan Transformasi, Rangka Kerja SAA
Menurut Ahmad Nazim, LTAT akan terus meningkatkan prospeknya melalui pelan transformasinya, berasaskan kepada pengukuhan dan pengimbangan semula portfolio pelaburannya selain menambah baik struktur organisasi, pengurusan risiko, amalan tadbir urus korporat, proses dalaman dan pembangunan modal insan.
“Pada masa ini, pelan transformasi berada di landasan yang betul,” katanya sambil menambah terdapat dua inisiatif utama yang akan memacu transformasi dan pengukuhan tadbir urus LTAT pada tahun ini, termasuk cadangan pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera (TAT) 1973 dan pengoperasian rangka kerja peruntukan aset strategik (SAA).
“Akta TAT tidak melalui sebarang perubahan struktur yang besar sejak penubuhannya dan peruntukan semasa terlalu ketat dan mungkin tidak relevan pada masa ini.
“Oleh itu, kami telah mempercepatkan proses pindaan tersebut sejak tahun lepas, dan pada tahun ini kami akan mendapat akta TAT yang telah dipinda,” katanya.
Pindaan itu juga akan menambah baik pelan LTAT untuk memulihkan dana tersebut mengikut pelan SAA, katanya.
Menurut Nazim, rangka kerja SAA merupakan pelan pelaburan yang menetapkan hala tuju jangka panjang ke arah kepelbagaian portfolio yang lebih baik. Ia turut memberikan idea yang lebih jelas mengenai lokasi untuk melabur dan jumlah untuk melabur dalam jangka masa panjang.
“Idea utama rangka kerja SAA ialah beralih daripada melabur sebahagian besarnya dalam aset tidak cair kepada lebih banyak aset cair serta aset yang menjana pendapatan (tempatan dan antarabangsa) tetapi pada masa sama bersedia untuk pelaburan yang menawarkan peluang untuk meningkatkan pulangan.
“Misalnya, pelaburan bersama dengan pengurus aset tempatan dan antarabangsa, termasuk syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang lain dalam dana ekuiti swasta (PE) dan hartanah (RE) serta dalam sektor berkaitan pertahanan melalui syarikat penerima pelaburan kami untuk meningkatkan sinergi antara pelaburan LTAT dalam ekosistem pertahanan.
“SAA akan menjadi tulang belakang strategi pelaburan jangka panjang kami dan akan menjamin pulangan yang mampan dan berdaya saing kepada penyumbangnya, yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.
Mengulas mengenai hasil utama yang diingini dengan memenuhi sasaran SAA, Nazim berkata rancangan itu adalah untuk mengurangkan risiko LTAT daripada tidak dapat mengisytiharkan kadar dividen yang kompetitif pada asas tahunan dalam jangka panjang.
“Pulangan minimum yang sepatutnya diisytiharkan selama ini adalah bersamaan dengan kadar deposit tetap ditambah 1.25 peratus (kadar FD+1.25 peratus) yang dipercayai kadar dividen yang stabil dan mampan. “Kami juga akan mengukuhkan keupayaan portfolio pelaburan LTAT untuk menahan turun naik jangka pendek dalam pasaran modal dan kemelesetan ekonomi serta memastikan kesolvenan dana berada pada tahap yang sesuai untuk dana persaraan yang mengambil pandangan jangka panjang,” tambah beliau.
Portfolio LTAT sangat berfokus, dengan 30 peratus dan 16 peratus daripada kira-kira RM10 bilion aset di bawah pengurusan (AUM) didedahkan kepada Boustead Holdings Bhd dan anak syarikatnya serta Affin Bank Bhd, yang kedua-duanya (Boustead Holdings dan Affin Bank) dianggap sangat tidak memiliki kecairan dan tidak menjana pendapatan sebanyak sebelumnya, menurut dana itu.
Justeru, pada masa ini, LTAT hanya boleh bergantung kepada kira-kira 20 peratus daripada portfolionya yang memiliki kecairan untuk menjana semua pendapatan yang diperlukan bagi mengisytiharkan kadar dividen yang kompetitif untuk ahlinya.
Pemulihan portfolio itu akan mengambil masa bertahun-tahun dan masih dalam proses, katanya. “Ya, sembilan bulan yang sangat mencabar kerana, selain penumpuan pada portfolio, kami berdepan dengan isu Boustead Naval Shipyard (BNS) dan projek Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) yang tertangguh sejak 2019.
“Kegagalan untuk memulihkan projek ini akan membawa bencana kewangan, mewujudkan kesan domino untuk keseluruhan kumpulan yang akan menyebabkan kerugian kewangan yang besar kepada LTAT dan menghalang keupayaan kami untuk memberikan pulangan dividen pada beberapa tahun akan datang. Ini adalah misi kritikal bagi kami,” jelasnya.
Fokus tahun 2022 – Misi 5:50
Ketika ditanya mengenai fokus beliau untuk 2022, Ahmad Nazim berkata misi dana pencen itu ialah 5:50, yang bermaksud untuk mencapai pembayaran dividen sebanyak lima peratus mulai 2022 dan seterusnya, sempena ulang tahun ke-50 dana itu, yang jatuh pada 1 Ogos.
Beliau berkata LTAT optimis untuk berusaha mencapai sasaran dividen yang lebih tinggi tahun ini, berpandukan rangka kerja SAA strategik syarikat selain dana itu juga akan fokus kepada memulakan pelaburan dalam ekuiti awam antarabangsa serta mempelbagaikan portfolio pendapatan tetapnya dengan melabur dalam bon korporat dan sukuk.
“Khususnya, pada Jun 2021, LTAT mula menceburi bon kerajaan – pelaburan tradisional dan penting dalam dana persaraan untuk mengekalkan modal dan menyediakan aliran pendapatan yang terjamin,” katanya.
“Pada masa yang sama, LTAT akan terus menyusun dan menempatkan semula pelaburan tidak cairnya yang sejajar dengan SAA untuk mengoptimumkan pulangan pada tahap risiko yang boleh diterima.
Ketika ini, pendedahan LTAT kepada ekuiti awam dan pendapatan tetap masing-masing berjumlah kira-kira 42 peratus dan lapan peratus, tambah beliau.
Ditanya sama ada beliau bercadang untuk meningkatkan pendedahan pendapatan tetap, Ahmad Nazim mengangguk sambil menambah, sudah tentu, berdasarkan rangka kerja SAA, kami sepatutnya dapat meningkatkannya kepada 20 peratus dalam beberapa tahun akan datang.
Tetapi tumpuan untuk tahun ini adalah untuk mengembangkan pelaburan kami dalam ekuiti awam, merangkumi pasaran antarabangsa.
Melangkah ke hadapan, Ahmad Nazim berkata prestasi LTAT tidak seharusnya diukur berbanding kadar sejarahnya tetapi mesti dilihat pada apa yang mampan dalam jangka panjang, relatif dengan prestasi pasaran semasa serta ditanda aras dengan kadar dividen yang diisytiharkan oleh dana persaraan lain. – Bernama