JOHOR BAHRU, 22 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Johor menerusi Operasi Jangkar Haram telah berjaya menahan sebanyak 47 buah kapal semenjak 24 Mac yang lalu.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Operasi Jangkar Haram yang dilancarkan pada 24 Mac lalu telah menunjukkan kesan yang positif terhadap perairan Johor Timur terutama di sekitar kawasan Tompok Utara.
“Sebelum pelaksanaan operasi ini, dilaporkan sebanyak 105 buah kapal telah bersauh secara haram di sekitar perairan Johor Timur,
“Jumlah ini berkurangan dengan mendadak apabila 47 buah kapal telah ditahan dan sebahagian besar telah diusir meninggalkan perairan Malaysia,” katanya dalam hantaran di media sosial rasmi APMM, hari ini.
Terbaharu, Nurul Hizam berkata, APMM negeri Johor telah menahan sebuah kapal tangki yang berdaftar di Panama pada kedudukan 10 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, Johor.
Menurutnya, kapal tangki tersebut dikendalikan 24 kru warga Georgia itu mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan berumur antara 25 tahun hingga 50 tahun telah ditahan pada 20 Jun sekitar jam 11.00 pagi.
Dalam masa yang sama, Nurul Hizam berkata, kesemua 47 buah kapal ini telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491 B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
“Untuk rekod, bagi tahun 2020, APMM negeri Johor telah menahan sebanyak 36 buah kapal dibawah kesalahan bersauh tanpa kebenaran dan bagi tahun 2021 sehingga hari ini sebanyak 65 buah kapal telah ditahan bagi kesalahan yang sama,” tambahnya.
Tambahnya, APMM Johor akan terus melaksanakan Operasi Jangkar Haram ini bagi mengekang pencerobohan dan kemasukan kapal yang bersauh secara haram di perairan negeri tersebut.
“Pemilik kapal dan syarikat dinasihati supaya lebih peka dengan prosedur dan peraturan sebelum memasuki dan bersauh di perairan Malaysia bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil,
“Sekiranya ditahan, proses siasatan dan pendakwaan akan menyebabkan kapal ditahan dan tidak boleh beroperasi selagi bon jaminan tidak dibayar,” ujarnya. -airtimes.my