KUALA LUMPUR, 13 Mei – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sekali menegaskan, budaya kerja toksik di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) harus dibenteras dengan segera.
Beliau menyifatkan, suasana persekitaran bekerja ketika ini amat berbeza dengan ‘zaman dahulu’ dan menegaskan, agar sikap saling menghormati serta menyokong rakan sekerja perlu diwujudkan.
“Saya tidak mahu budaya kerja yang toksik di hospital KKM,
“Persekitaran kerja mesti ada saling menghormati, sokong dan pemerkasaan bukan bersifat mendera serta memalukan,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Jumaat.
Dalam pada itu, Khairy turut memuat naik beberapa keping gambar pertemuannya bersama doktor pelatih di Hospital Selayang awal pagi tadi.
“Mendengar pengalaman doktor pelatih pagi ini sebelum memulakan ‘rounds’ mereka pada jam 6 pagi di Hospital Selayang,
“Banyak perkara yang diluahkan kepada saya. Ada jabatan yang mempunyai ‘work environment’ yang bagus. Ada pula yang boleh diperbaiki,” jelasnya.
Sementara itu, Khairy menjelaskan, beliau akan mengumumkan anggota pasukan petugas bebas bagi menyiasat dan membuat syor berhubung budaya kerja warga KKM.
“Pasukan ini diberi masa selama dua bulan,” jelasnya.
Pada 17 Julai lalu, seorang doktor pelatih lelaki berusia 25 tahun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari unit kediamanny di bangunan berhampiran Hospital Pulau Pinang dan semalam Khairy memaklumkan Unit Intergriti KKM diarahkan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaaan buli di hospital itu. -airtimes.my