PASIR GUDANG, 22 Mac – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyempurnakan perasmian Stesen Jana Kuasa Southern Power Generation (SPG) yang turut dimasyhurkan sebagai Sultan Ibrahim Power Plant, hari ini.
Menerusi hantaran di laman sosial rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim bertitah, SPG adalah loji janakuasa komersial pertama di dunia menggunakan turbin gas berteknologi paling cekap yang dihasilkan oleh General Electric (GE).
“SPG yang berkonsepkan kitar padu telah siap sepenuhnya dan memulakan operasi komersial pada 1 Januari 2021,” titah baginda sewaktu Majlis Perasmian SPG.
Baginda bertitah, pembinaan SPG yang menelan belanja sebanyak RM4.7 bilion ini adalah gabungan usaha sama di antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan SIPP Energy Sdn Bhd.
“Teknologi pembakaran bahan api aslinya mampu menghasilkan 60 peratus tenaga elektrik,
“Dan kecekapan turbin gas berteknologi tinggi ini mampu menyumbang kepada pengurangan jejak karbon,” titah baginda.
Titah baginda, dengan beroperasinya stesen ini secara tidak langsung merancakkan dan menggalakkan usaha pelaburan dari dalam dan luar negara.
“Ia menjadi satu mercu tanda pembangunan industri penjanaan elektrik di Johor dan selatan tanah air,
“Stesen ini juga menyediakan infrastruktur pembekalan tenaga elektrik yang mencukupi, berdaya harap serta stabil, sekaligus mampu menyakinkan pelabur untuk menjalankan perniagaan di Johor,” titah baginda.
Berangkat sama, Tengku Mahkota Johor, Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang turut mengiringi baginda mengadakan lawatan sekitar SPG. – airtimes.my