GOMBAK, 19 Jan – PAS hari ini mempertikaikan keputusan Putrajaya mengemukakan saman kepada kerajaan Kelantan ketika kempen PRK Cameron Highlands sedang berjalan.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kes tersebut sudah lama berlaku namun mengapa Peguam Negara, Tommy Thomas memilih masa sekarang untuk memfailkan tindakan sivil kepada Kelantan.
“Mengapa pilih masa PRK sedangkan isu ini sudah lama. Adakah dia nak kempen sama pilihan raya itu?,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Sejarah Pas di Taman Melewar, di sini, pagi tadi.
Ketika ditanya siapakah ‘dia’ yang Ahli Parlimen Marang itu maksudkan, Abdul Hadi menjelaskan ‘dia’ berkenaan merujuk kepada Kerajaan Persekutuan.
“Tuju kepada kerajaan pusat. Kenapa dia pilih masa PRK ini? Atau dia baru terfikir masa PRK (untuk failkan saman), sebelum ini tak terfikir,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan sepatutnya merujuk Penasihat Undang-undang Negeri sebelum membuat apa-apa keputusan.
“Saya ingat ini kali pertama dalam sejarah, kerajaan pusat saman kerajaan negeri. Dalam kerajaan negeri, ada penasihat undang-undang.
“Sepatutnya apa perkara, rujuk kepada penasihat undang-undang, tak boleh terus saman kerajaan negeri,” katanya.
Peguam Negara, Tommy Thomas melalui kenyataannya berkata, saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
Menurutnya, kerajaan negeri Kelantan dan agensinya telah memberikan hak pembalakan di Gua Musang kepada beberapa syarikat swasta tanpa berunding dengan masyarakat Orang Asli Temiar atau menawarkan pampasan kepada mereka.