KUALA LUMPUR, 1 Feb – Jawatankuasa Kuil Sri Mahamariamman Batu Caves menafikan laporan yang tular di media sosial kononnya sambutan Thaipusam di Batu Caves pada 8 Feb ini ditangguh bagi mengelak penyebaran virus novel koronavirus.
Pengerusinya Tan Sri R. Nadarajah berkata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo telah mengatakan bahawa sambutan Thaipusam akan diteruskan seperti yang dijadualkan.
“Maka jangan berkongsi berita palsu yang Thaipusam akan dibatalkan… jika berita palsu ini berterusan kami akan membuat laporan polis,” katanya pada sidang media mengenai sambutan Thaipusam di sini hari ini.
Sehubungan itu pihak jawatankuasa kuil menasihati penganut serta pengunjung supaya mengambil langkah pencegahan awal dengan mengutamakan kebersihan diri serta memakai penutup hidung dan mulut bagi mengelakkan penularan virus itu.
Sambutan di Batu Caves itu dijangka menerima kunjungan 15,000 penganut serta pelawat dari dalam dan luar negara.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata Polis DiRaja Malaysia akan menempatkan anggota yang mencukupi untuk memastikan sambutan di Batu Caves berjalan dengan lancar.
“Kami mahu memastikan bahawa suasana perayaan Thaipusam pada tahun 2020 akan berlangsung dengan aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. Oleh itu semua pengunjung dinasihati supaya mematuhi peraturan serta arahan lalu lintas oleh anggota yang bertugas,” katanya. – Bernama