GURUN, 3 Dis – Seorang anggota tentera yang dilaporkan hilang ketika mendaki di kawasan kaki Gunung Jerai semalam, ditemui selamat berhampiran sebuah masjid di Yan, petang Isnin.
Komander Operasi Pejabat Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Azmir Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan lelaki berusia 34 tahun itu pada 11.13 malam Isnin, daripada anggota keluarganya sebelum memulakan gerakan mencari dan menyelamat.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati terdapat seorang mangsa lelaki hilang di kaki Gunung Jerai. Motosikalnya terdapat di situ.
“Operasi mencari mangsa disertai 10 anggota bomba bersama 32 anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Renjer Hutan,” katanya.
Difahamkan, mangsa yang tersesat berkemungkinan berjalan kaki sejauh kira-kira empat kilometer sebelum keluar di kawasan hutan berdekatan masjid berkenaan.
Mangsa, Shahrul Nizam Ali ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira pukul 1.30 petang semalam.
“Hasil operasi itu, mangsa ditemui dalam keadaan selamat. Turut ditemui sebuah motosikal milik mangsa di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Isnin.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.