KUALA LUMPUR, 20 Apr – Baki 4 daripada 16 warganegara Malaysia yang mendakwa menjadi mangsa sindiket tawaran pekerjaan di Kemboja telah selamat tiba di tanah air pada 4.35 petang Selasa, dari Phnom Penh.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, 4 individu tersebut tidak dapat menyertai penerbangan pulang 12 yang lain pada 11 April lalu kerana mereka didapati positif COVID-19 sebelum berlepas.
“Mereka dibenarkan pulang ke Malaysia setelah selesai menjalani kuarantin 7 hari di Kemboja dengan dipantau Kedutaan Besar Malaysia di negara itu,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Luar turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Kemboja dan kerjasama erat yang diberikan Kedutaan Besar Malaysia di negara itu dalam memudahcara urusan yang berkaitan bagi membolehkan mereka kembali ke tanah air dengan selamat.
Selain itu, Wisma Putra juga menasihatkan warganegara Malaysia supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran pekerjaan di luar negara bagi memastikan mereka tidak terjebak dalam sindiket sedemikian.
Perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa bersedia memberikan nasihat sewajarnya berhubung perkara itu serta membantu warganegara Malaysia yang berada dalam kesulitan.
Kejayaan membawa pulang semua rakyat Malaysia itu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) adalah hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), polis Kemboja, Polis ASEAN (Aseanapol) dan Wisma Putra.
Sebelum ini, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong mendedahkan 16 rakyat tempatan menjadi tawanan sindiket penipuan antarabangsa di Kemboja sebelum dipaksa menjadi ‘scammer‘.
Difahamkan, mangsa sebelum itu diumpan sindiket tersebut untuk bekerja sebagai operator telepemasaran dan perkhidmatan pelanggan di Kemboja dengan tawaran gaji lumayan.
Mangsa mendakwa dibawa masuk ke Kemboja sama ada menerusi penerbangan atau melalui jalan yang tidak diwartakan.-airtimes.my