KUALA LUMPUR, 1 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Mohd Puad Zarkashi hari ini mencabar Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli supaya membongkar projek terowong bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Bagaimanapun, Puad yakin, Rafizi tidak akan berbuat demikian kerana Lim adalah rakan kroni mereka.
“Walaupun Lim sudah didakwa, tetapi rakyat ingin tahu macam mana terowong itu ghaib. Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) lewat kamu bising. Terowong ghaib kamu senyap,
“Penghantatan kapal pertama lewat dari tarikh asal pada April 2019. Kelewatan itu tambah parah kerana dibekukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH). Tetapi LCS tidak ghaib macam terowong,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Mohd Puad turut membidas Rafizi yang disifatkan hipokrit kerana menutup mata dan tidak bersuara mengenai projek terowong ini.
“Mungkin terowong Lim Guan Eng ghaib kerana disorok oleh orang bunian laut. “Trak Rafizi” sampai tak jumpa untuk melaluinya. Rafizi dan PAC memang hipokrit,” ujarnya.
Pada Ogos 2020, Guang Eng didakwa di Mahkamah Sesyen di Butterworth atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima wang suapan berjumlah RM3.3 juta berhubung projek terowong dasar laut.
Guan Eng didakwa menerima suapan itu bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. -airtimes.my