TANAH MERAH, 3 Mac – Bahagian kepala sebuah kereta api penumpang yang dalam perjalanan dari Tumpat ke Johor Bahru terbakar di Taman Tasek Kiara, malam tadi.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, PgB Nurul Alfisyahrin Mohd Zaki memaklumkan, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada 10.36 malam sebelum 14 anggota serta 2 jentera FRT dikerah ke lokasi kejadian.
“Kereta api tersebut mengalami kebakaran di bahagian kepala yang memusnahkan enjin kenderaan tersebut dan telah terbakar 90 peratus,
“Ketika anggota bomba tiba, api kenderaan tersebut sedang marak. Api berjaya dikawal pada jam 11 malam,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Beliau berkata kejadian telah menyebabkan pemandu kereta api Ekspres Rakyat Timuran itu cedera dan dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan.
“Manakala, seramai 396 orang penumpang yang menaiki kenderaan tersebut tiada sebarang kecederaan dan selamat. Punca kejadian masih dalam siasatan,” ujarnya lagi.-airtimes.my