KUALA LUMPUR, 9 JUL – Bukan sahaja menjadi antara rakan dagang utama, hubungan baik antara India dengan Malaysia juga diterjemahkan menerusi kerjasama pertahanan sedia ada antara kedua-dua negara.
Malaysia dan India memeterai kerjasama pertahanan pada tahun 1993, bagaimana pun bagi hubungan diplomatik ia telah terpatri lebih awal iaitu sebaik negara mencapai kemerdekaan.
Justeru, keakraban ini diterjemahkan lagi apabila Panglima Tentera Udara India, Marshal VR Chaudhari melakukan lawatan kerja rasmi ke Malaysia baru-baru ini.
Ini merupakan lawatan pertama beliau di sini khususnya dalam konteks hubungan dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) setelah dilantik ke jawatan tersebut pada September 2021.
Lawatan beliau yang bermula 2 Julai hingga 7 Julai itu ditemani isteri, Neeta Chaudhari bagi program melibatkan lawatan yang diatur oleh Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Udara.
Chaudhari yang merupakan juruterbang pesawat tempur serta jurulatih berpengalaman mempunyai rekod 3,800 jam penerbangan.
Beliau pernah menerbangkan pesawat seperti MiG-21, MiG-23 MF, MiG 29 dan Sukhoi Su-30 MKI serta memerintah beberapa skuadron yang di tempatkan di pangkalan hadapan.
Lawatan beliau ini boleh disifatkan sebagai membalas kunjungan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan yang berada di India pada Februari lalu.
Mohd Asghar telah menghadiri pertunjukan Aero India serta mengunjungi rakan sejawatnya itu.
Mohd Asghar Khan dan delegasi antara tetamu kenamaan yang dijemput untuk menghadiri majlis pembukaan rasmi pameran tersebut yang disempurnakan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Semasa di India, Panglima Tentera Udara juga telah meninjau fasiliti pemasangan pesawat tempur ringan (LCA), buatan India, HAL Tejas.
Ini merupakan kunjungan pertama PTU bersama delegasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke kilang pembuatan pesawat tersebut yang mana Tejas turut bersaing dalam program perolehan LCA TUDM.
Walaupun Tejas tidak dipilih sebagai pesawat LCA negara, namun India masih melihat Malaysia sebagai antara negara sahabat yang berpotensi untuk ditawarkan lain-lain produk pertahanan.
India yang mempunyai angkatan udara ketiga terbesar di dunia dengan kira-kira 1,700 pesawat juga menguasai teknologi pertahanan aras tinggi setanding negara barat.
Keupayaan India dalam konteks angkatan udara juga diukur berdasarkan pengalaman negara itu terbabit dalam operasi udara sebenar.
Justeru, lawatan kerja rasmi ini mengeratkan hubungan TUDM dan Tentera Udara India (IAF) serta kerjasama strategik pertahanan yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.
Chaudhari memulakan lawatan rasmi dengan melakukan kunjungan hormat ke atas Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan di Wisma Pertahanan.
Kedua-kedua pemimpin turut berbincang mengenai kerjasama strategik antara dua angkatan udara selain mengeratkan hubungan kerjasama dan diplomasi pertahanan.
Mereka saling berkongsi pandangan dan berharap hubungan bilateral ini terus terjalin demi kestabilan dan keamanan serantau.
Dalam rangka lawatan ke sini, Chaudhari juga telah dibawa melawat beberapa pangkalan udara dan kemudahan latihan TUDM.
Turut dilawati beliau ialah Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Pusahanas) dan Pangkalan Udara Jugra yang menempatkan Pasukan Khas Udara TUDM (Paskau).
Semasa di sana, Chaudhari menyaksikan demonstrasi Airborne Tactical Extraction Platform (AIRTEP) oleh Paskau menggunakan pesawat EC 725AP.
Beliau turut melihat pameran persenjataan dan peralatan-peralatan yang digunakan oleh Paskau dalam melaksanakan pelbagai jenis operasi.
Beliau telah melawat ke Pangkalan Udara Gong Kedak diiringi Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Shahada Ismail.
Dalam kunjungan tersebut beliau dibawa melawat bangunan simulator dan dipersembahkan dengan taklimat pengoperasian simulator pesawat pejuang.
Beliau turut diberikan taklimat ringkas pengoperasian pesawat Sukhoi Su-30MKM.
TUDM pernah berkolaborasi bersama jurulatih dan juruteknik dari IAF sewaktu awal pengoperasian pesawat Sukhoi Su-30MKM dari segi perkongsian pengalaman dan kemahiran.
India mengoperasikan kira-kira 280 buah pesawat Sukhoi Su-30MKI dengan 220 pesawat dipasang oleh firma pertahanan negara itu, Hindustan Aeronautics Limited (HAL).
Negara itu juga sedang membangunkan program menaik taraf pesawat berkenaan kepada versi Super Sukhoi menerusi kerjasama dengan Rusia.
Pada Ogos tahun lalu, TUDM dan IAF menjayakan latihan bersama, Eksesais Udara Shakti 2022 membabitkan pesawat Sukhoi.
TUDM dijangka akan terus menggunakan pesawat Sukhoi SU-30MKM sehingga tahun 2040 yang bermakna pesawat-pesawat tersebut akan dinaik taraf bagi meningkatkan keupayaan.
Delegasi Tentera Udara India pada Januari lalu juga telah melakukan kunjungan ke Pangkalan Udara Gong Kedak.
Kunjungan ini sempena Program Dua Hala Subject Matter Expert Exchange (SMEE) berhubung perkongsian kemahiran.
Kehadiran delegasi ini sebagai program timbal balas sepertimana yang dipersetujui dalam Mesyuarat Air Staf Talks antara TUDM dan IAF. – airtimes.my