Baru-baru ini, Panglima Tentera Laut menyatakan Pelan Transformasi 15-to-5 akan mengalami sedikit perubahan.
Dalam Perutusan Ulung Panglima Tentera Laut ke-18, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob menyatakan meneruskan Pelan Transformasi 15-to-5 yang diubahsuai akan diteruskan sebagai teras kedua.
“Perlu ditegaskan bahawa Pelan Transformasi 15-to-5 digarap dengan tujuan agar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berupaya untuk terus menunaikan tanggungjawabnya dalam melaksanakan operasi dan tugasan-tugasan penting bagi mempertahankan kedaulatan serta kepentingan maritim negara,
“Perubahan dalam landskap geo-strategik, kekangan kewangan serta cabaran dalam industri menyebabkan Pelan yang dihasilkan lebih 5 tahun dahulu ini perlu dibuat penyesuaian sewajarnya,” kata Abdul Rahman semasa menyampaikan perutusan ulung beliau.
Semasa sidang media pasca Perutusan Ulung Panglima Tentera Laut ke-18, Abdul Rahman menjelaskan perubahan pada Pelan Transformasi 15-to-5 adalah tidak begitu drastik dan masih mengekalkan 5 kelas utama kapal.
“(Perubahan) Tidaklah begitu besar, (dan) ada sedikit pengubahsuaian,” katanya.
Menurut beliau, antara perubahan ketara adalah pada perolehan LMS baharu yang lebih berkeupayaan tempur berbanding 4 buah kapal kelas Keris yang diperolehi dari China. Untuk rekod, kapal kelas Keris merupakan kumpulan pertama perolehan LMS yang dibuat di bawah 15-to-5.
Jelas Panglima Tentera Laut, perubahan lain adalah dari segi jangka masa pelaksanaan.
“Pengubahsuaian 15-to-5 tu juga merangkumi kemungkinannya pelaksanaannya tidak seperti yang dijangkakan,
“Mungkin lambat sikit tetapi masih lagi berasaskan kepada 15-to-5 yang telah dirangkakan,” ujar beliau.
Walaupun masih belum terdapat perincian khusus perincian 15-to-5, apa yang dinyatakan oleh Panglima Tentera Laut jelas menunjukkan bahawa pelan transformasi tersebut sedang mengalami pengubahsuaian.
Apa itu 15-to-5?
15-to-5 merupakan perancangan strategik jangka panjang TLDM untuk membentuk sebagai sebuah angkatan laut dan kredibel bagi mempertahankan kedaulatan negara serta kepentingan maritim Malaysia.
“TLDM telah merencanakan pelan pembangunan keupayaan aset TLDM melalui Pelan Transformasi 15-to-5 yang bakal melengkapkan TLDM dengan jumlah keseluruhan 55 buah kapal menjelang 2050 bagi menampung keperluan operasi TLDM,” kata Abdul Rahman dalam ucapan beliau yang menjelaskan matlamat perancangan ini.
Melalui perancangan ini, angkatan laut negara disasarkan untuk mengoperasikan 5 kelas vesel yang terdiri daripada Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS); Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship, LMS); Kapal Peronda Generasi Baharu (New Generation Patrol Vessel, NGPV), Kapal Sokongan Pelbagai Peranan (Multi Role Support Ship, MRSS) dan Kapal Selam.
Keupayaan kombatan TLDM dipacu oleh kapal selam, LCS dan MRSS. Kekuatan ini disokong oleh LMS dan NGPV.
Jika melihat susunan perancangan, TLDM diilhamkan untuk memiliki 12 buah LCS, 18 buah LMS, 18 NGPV, 3 MRSS dan 4 kapal selam.
Jika melihat keberhasilan semasa, usia aset-aset semasa TLDM kian meningkat. Melihat kepada vesel kombatan yang sedia, lebih separuh daripadanya telah melebihi usia 40 tahun dan ada diantaranya telah pun mencapai usia separuh abad.
Perubahan 15-to-5 merupakan satu realiti yang tidak dapat ditolak lantaran daripada beberapa cabaran yang telah dihadapi semenjak pelaksanaannya.
Semakin lama 15-to5 tidak dapat dipenuhi, semakin banyak isu yang tidak diingini bakal timbul pada masa hadapan. – airtimes.my