KUALA LUMPUR, 6 April – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan menyatakan keputusan Jemaah Menteri untuk meneruskan projek Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship) akan ditentukan pada April ini.
Beliau memaklumkan perkara tersebut di Dewan Negara, hari ini.
“Apa yang perlu kita lakukan ialah kita akan menyiapkan kapal-kapal mengikut apa bajet yang sedia ada, terpulang kepada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang akan kita buat tak lama lagi.
“Boleh jadi dalam 2-3 minggu daripada sekarang, Datuk Dipertua, untuk kita meneruskan,” katanya.
Menurut beliau, keputusan secara tidak rasmi setakat ini adalah untuk meneruskan projek tersebut.
“Kertas Masyarakat Jemaah Menteri telah pun diedarkan untuk mendapat ulasan-ulasan daripada kementerian-kementerian berkenaan yang mana secara tidak rasminya telah pun bersetuju meneruskan Projek LCS,” jelasnya.
Menteri Pertahanan menegaskan projek LCS perlu disiapkan bagi memastikan kedaulatan perairan negara dapat dipertahankan dari sebarang bentuk pencerobohan.
“Keupayaan pertahanan negara perlu dilengkapkan, perlu kita perkasakan. Jika tidak, orang tidak ada lagi segan silu dengan kita,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Tok Mat menjelaskan projek LCS telah lama tertangguh berikutan keputusan kerajaan sebelum ini untuk melakukan semakan dan juga penularan wabak COVID-19.
“Kelewatan ini adalah berpunca dari pelbagai sebab. Antaranya projek ini diberhentikan pada tahun 2019 untuk dibuat review (semakan),
“Kemudian nak disambung semula, lepas itu, COVID-19 (berlaku) 2 tahun, jadi projek ini terbengkalai, tergendala selama 3 tahun,” jelasnya. – airtimes.my