KUALA LUMPUR, 13 Jan – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus memperkukuhkan hubungan dua hala bersama Tentera Laut Diraja Australia (TLDA) bagi memperkasakan kerjasama serantau dari aspek keselamatan maritim.
TLDM dalam kenyataan berkata, kerjasama dua hala tersebut diperkukuhkan lagi dengan lawatan Panglima TLDA, Vice Admiral Michael Noonan, AO, RAN ke Malaysia, sejak mengambil alih jawatan tertinggi TLDA pada 7 Julai 2018.
Ketibaan beliau di Wisma Pertahanan hari ini disambut oleh rakan sejawatnya, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany serta barisan pengurusan tertinggi TLDM dan dimulakan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama (KKU).
Seterusnya, Vice Admiral Noonan membuat kunjungan hormat ke atas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM di pejabat beliau.
Menurut TLDM, Vice Admiral juga telah mengadakan perjumpaan dengan Mohd Reza, bagi penyempurnaan Majlis Tandatangan Navy-to-Navy Talks (N2NT) Terms of Reference dan Malaysia-Australia Exercise (MASTEX) Business Rules oleh kedua-dua Panglima Tentera Laut.
“Dokumen N2NT Terms of Reference (TOR) merupakan bahan rujukan dan prosedur kepada pelaksanaan siri Mesyuarat Bilateral N2NT antara TLDM serta TLDA yang telah dikemaskini,
“Sehingga tahun 2021, sebanyak 14 siri N2NT telah diadakan dan siri ke-15 dijadualkan pada 20 Januari ini,
“MASTEX Business Rules yang sebelum ini dikenali sebagai MASTEX Standard Operating Procedures pula adalah dokumen yang menggariskan prosedur tetap pelaksanaan MASTEX yang telah ditambah baik dan dikemaskini. MASTEX merupakan latihan bersama TLDM-TLDA yang diadakan setiap 2 tahun sekali,” jelas TLDM.
Tambah TLDM, lawatan rasmi ini secara tidak langsung telah mengukuhkan lagi perhubungan dua hala antara TLDM dan TLDA.
Pada masa yang sama, pemimpin kedua-dua Tentera Laut juga turut dapat bertukar maklumat serta menerokai peluang kerjasama baharu.-airtimes.my
Galeri gambar :