KOTA BHARU, 30 Jun – Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Diraja Thailand (RTA) berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan pelbagai barangan keperluan harian termasuk sebuah kenderaan dianggarkan berjumlah RM89,631.60, semalam.
Anggota tentera dari 4 Rejimen Ranjer Diraja (4RRD) yang membuat rondaan dalam Op Benteng telah mengesan sebuah Van Toyata Hiace yang berhenti di tebing Sungai Golok dengan beberapa lelaki sedang memunggah barang untuk diseludup ke Thailand.
“Selepas menilai situasi, pasukan ronda tersebut melakukan serbuan dan menyebabkan tujuh orang lelaki disyaki warga Thailand terjun ke dalam sungai,
“Suspek tersebut tergesa-gesa menaiki dua buah bot untuk menyeberangi Sungai Golok dan seterusnya menuju ke arah Thailand,” kata Berita Tentera Darat Malaysia (BTDM) dalam satu kenyataan semalam.
Menurut kenyataan itu, setelah suspek berjaya melepaskan diri ke Thailand, Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Zamsari Abu Hasan telah menghubungi Komander Rejimen Kelima Infantri, RTA bagi memburu penyeludup.
“Hasilnya, penyeludup berjaya diberkas oleh Pasukan Keselamatan Thailand di kawasan tanggungjawab mereka tidak jauh dari lokasi kejadian,
“4 RRD telah membuat laporan kes ini di balai polis yang berdekatan serta menyerahkan barang rampasan kepada pihak Kastam Diraja Malaysia dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam1967 – Kesalahan Menyeludup,” ujarnya.
Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Zamsari Abu Hasan berkata tindakan pantas ini sebagai manifestasi kerjasama erat antara TDM dengan RTA yang terjalin selama ini melalui Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Thailand.
“Di samping itu, kejayaan ini juga didorong oleh tahap kesiagaan tinggi pasukan yang sedang beroperasi bagi memastikan kedaulatan di kawasan sempadan sentiasa dipertahankan dari sebarang anasir termasuk pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) atau unsur penyeludupan,” katanya. – airtimes.my