[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=AEnNSnYA_Io[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 10 Dis – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mempertingkatkan kesiagaan dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan di pantai timur Sabah susulan laporan media yang mendakwa akan berlakunya pencerobohan di wilayah itu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sehingga kini, tiada petunjuk atau bukti kukuh atas laporan sepertimana yang dinyatakan. Walaubagaimanapun, tindakan segera akan diambil bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah.
“Laporan mengenai dakwaan ‘Tentera Diraja Sulu’ sedang merancang untuk menceroboh Sabah, Kementerian Pertahanan dan ATM sememangnya memberi perhatian terhadap laporan berkenaan,
“Sebarang ancaman, sama ada boleh dipercayai atau tidak, mesti disahkan secara bebas dan dianggap serius,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Beliau menjelaskan, pihaknya telah mengarahkan Bahagian Perisikan ATM untuk memberi perhatian kepada laporan yang telah dibuat.
“Kementerian dimaklumkan bahawa tiada perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian secara khusus,
“Buat ketika ini tiada perincian yang menuntut kita membuat tindakan drastik. Dalam masa yang sama, ketiga-tiga cabang perkhidmatan melalui Panglima Medan Timur, Panglima Armada Timur dan Panglima Wilayah Udara 2 diarahkan untuk memastikan ATM meningkatkan kesiapsiagaannya ke tahap paling tinggi di negeri berkenaan terutama di Pantai Timur Sabah,” jelasnya.
Menurutnya, aturgerak aset dan anggota akan dilaksanakan sekiranya ia diperlukan melalui fakta telah disahkan oleh pihak yang terlibat.
“Kerjasama rapat Kementerian Pertahanan bersama agensi keselamatan yang lain terutamanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sekiranya maklumat yang diterima memerlukan aturgerak aset serta anggota, ia tidak akan menjadi masalah. Tetapi sehingga hari ini, belum ada keperluan itu,
“Keselamatan negara dan rakyat sentiasa menjadi aspek utama dan laporan yang belum disahkan itu akan disiasat dengan kadar segera. Hal ini telah dimaklumkan dalam Mesyaurat Jemaah Menteri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin,” ujarnya.
Sebelum ini, South China Morning Post (SCMP) yang memetik sumber melaporkan, seramai 600 anggota Tentera Diraja Sulu (Royal Sulu Army, RSA) bersedia untuk melancarkan operasi menawan Sabah.
“Kumpulan itu merancang mengarahkan sekurang-kurangnya 200 orang pengintip bagi pihak RSA untuk menyusup masuk ke beberapa kawasan di Sabah,
“Sumber turut tidak menolak kewujudan ejen asing yang telah bertapak di Sabah,
“Mereka rancang untuk melancarkan serangan pada sekitar Februari 2022 bagi memperingati peristiwa Lahad Datu 2013,” kata laporan itu. -airtimes.my