[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=Zn-IAl8eKQ0[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 9 JAN – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin hari ini menegaskan pihaknya akan memberi fokus kepada perolehan aset untuk Angkatan Tentera Malaysia.
Antara yang menjadi tumpuan pihak Kementerian Pertahanan pada tahun ini adalah perolehan 12 unit helikopter baharu dan 3 buah kapal Littoral Mission Ship (LMSB2).
Khaled menyatakan perkara tersebut semasa menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2024 Menteri Pertahanan, hari ini.
Menurut beliau, peruntukan pertahanan yang diberikan oleh kerajaan mesti disemak dan ditambah baik. Ia perlu dilakukan dan selaras dengan peningkatan keperluan yang dipengaruhi perubahan konteks dan cabaran semasa.
“Persediaan dan kesiagaan kita harus mengundang rasa gerun dan hormat di pihak kawan dan lawan,
“Biarpun kini peruntukan pertahanan yang diperoleh sudah mencecah 1% KDNK negara, jumlah ini mesti sentiasa disemak dan ditambah baik,” katanya semasa menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2024 Menteri Pertahanan, hari ini.
Menurut beliau, Kementerian Pertahanan Malaysia telah menerima peruntukan sebanyak RM19.7bilion. Dari jumlah tersebut, RM12.6 bilion bagi Perbelanjaan Pengurusan, dan RM7.05 bilion bagi Perbelanjaan Pembangunan.
“Peningkatan sebanyak RM 2 bilion atau 5.3% berbanding tahun lalu ini mesti dimanfaatkan secara berhemah, strategik dan produktif,
“Untuk itu, kementerian komited untuk menjayakan projek perolehan pelbagai aset strategik bagi meningkatkan keupayaan ATM,” ujar beliau.
Antara projek perolehan yang lain dinyatakan oleh beliau semasa perutusan tersebut adalah Maritime Patrol Aircraft (Pesawat Rondaan Maritim, MPA); Unmanned Aerial System (UAS) dan Flight Lead In Trainer – Light Combat Aircraft (FLIT/LCA).
Selain itu, Khaled menyatakan perolehan 12 unit helikopter baharu fasa 1 dan Radar Jarak Jauh untuk TUDM.
Seperti yang diketahui umum, Kementerian Pertahanan sebelum ini telah memutuskan untuk membeli 2 buah pesawat MPA ATR-72 dari syarikat Leonardo dan 3 unit ANKA dari Turkish Aerospace Industries (TAI).
Selain daripada itu, FLIT/LCA untuk TUDM telah dimuktamadkan pada tahun lalu dengan perolehan 18 buah FA-50 Block 20 dari Korea Aerospace Industries (KAI).
Pada masa yang sama, Menteri Pertahanan menyatakan pihaknya akan berusaha untuk menjayakan perolehan Fast Interceptor Craft (FIC); Suar dan Anti-sonar Decoy bagi Kapal Selam Kelas Perdana Menteri; serta Projek perolehan 3 unit LMSB2 untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Beliau turut menggariskan perolehan 136 buah unit High Mobility Armoured Vehicle (HMAV), meriam 155mm Self Propelled Howitzer (SPH) serta Trak Kembalik Ringan (LRV) bagi kegunaan Tentera Darat Malaysia (Tentera Darat).
Fokus kepada perolehan aset-aset ini adalah strategi pertama Menteri Pertahanan yang mahu meneruskan proses pemodenan kelengkapan dan aset ketenteraan.
Strategi ini adalah salah satu komponen daripada fokus pertama yang disampaikan dalam amanat Menteri Pertahanan.
Perutusan Tahun Baharu 2024 oleh Menteri Pertahanan pada hari ini turut menekankan fokus kepada kebajikan, pembangunan kapasiti, dan patriotisme.
Khaled Nordin turut menyatakan Kajian Separuh Penggal KPP akan dilaksanakan pada tahun ini dengan memberi fokus kepada perancangan pertahanan yang lebih terkini serta mengambil kira keadaan global. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #TLDM #TUDM #TenteraDarat #ATM